Hadiah Unifi eMFL Liga Super RM50,000

Iklan
Ab Ghani (belakang, dua, kiri) bersama pemain Unifi eMFL Liga Super pada majlis pelancaran dan undian selepas majlis pelancaran dan undian di Wisma FAM pada Rabu. - Foto BERNAMA

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) meneruskan penganjuran Unifi eMFL Liga Super yang bakal membuka tirai bermula 20 April sehingga 9 Mei depan.

Unifi eMFL Liga Super 2021 yang dipersetujui oleh industri permainan video merangkap penerbit siri permainan FIFA, Elektronic Arts (EA) juga menyaksikan MFL menjadi rakan kongsi liga rasmi bersama EA Sports di Asia Tenggara selain pemegang hak rasmi kejohanan buat kali kedua berturut-turut.

Iklan
Iklan

Apa yang pasti, Unifi yang masih tampil sebagai penaja utama menjadikan kejohanan eMFL lebih berprestij apabila hadiah terkumpul bernilai RM50,000 menanti pemenang di mana nilai hadiah kejuaraan itu menjadi angka paling tinggi dalam sukan elektronik bagi permainan FIFA 21 di Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, beliau optimis kenaikan nilai hadiah pertandingan berformatkan konsol itu bukan sahaja memberikan suntikan moral dalam kalangan pemain yang bakal bermain dalam Unifi eMFL Liga Super kali kedua ini.

Iklan

Sebaliknya Ab Ghani yakin kejohanan itu turut membuka peluang kepada semua pihak untuk menunjukkan potensi sekali gus mampu menjadi platform pembangunan atlet sukan elektronik pada masa depan.

"Kita tidak boleh menafikan bahawa sukan elektronik semakin berkembang pesat dan karier pemain-pemain sukan elektronik juga berada di prestasi yang boleh dibanggakan.

Iklan

"Unifi eMFL Liga Super adalah satu perkembangan baik kepada golongan atlet sukan elektronik dan lebih positif, Liga Malaysia dapat dikembangkan melalui saluran digital.

"Harapan saya adalah mahu melihat setiap pemain dapat memberikan yang terbaik ketika kejohanan Unifi eMFL Liga Super bermula nanti dan saya percaya kenaikan nilai hadiah sebanyak RM50,000 bukan sahaja menambah nilai prestij kejohanan malah memberikan semangat kepada pemain juga pihak di luar sana untuk memasang impian bermain di eMFL pada masa depan,” katanya selepas majlis pelancaran dan undian di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Rabu.

Majlis pelancaran dan undian turut dihadiri oleh Ahli Lembaga Pengarah, Datuk Kamarul Ariffin dan Pengarah Am Peraturan dan Pengurusan Telekom Malaysia Selangor, Azrin Aris.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Gamesbond Global Sdn Bhd, Fazli Razak, melahirkan rasa gembira selepas menyaksikan saingan itu dapat diteruskan buat kali kedua pada tahun ini.

"Unifi eMFL Liga Super tahun ini dilihat dapat membantu pemain bersaing di peringkat yang tertinggi di Malaysia dan ianya dapat membawa pemain bermain di kejohanan antarabangsa. Gamesbond komited untuk meneruskan kerjasama bersama pihak MFL untuk mengangkat komuniti ini ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Sebagai rekod, MFL telah melantik Gamesbond yang merupakan penganjur kejohanan sukan elektronik sebagai rakan ekslusif dalam sama-sama mengurus dan mempromosikan kejohanan unifi eMFL Liga Super.

Sementara itu, wakil Nivea, Men Tay Pui Yieng mengakui pihaknya teruja untuk terlibat dalam kejohanan esukan bersama MFL buat kali pertama sebagai penaja produk penjagaan lelaki rasmi eMFL pada tahun ini.

"Di Nivea Men, kami percaya bahawa anda dapat memanfaatkan potensi harian anda untuk yakin sepenuhnya dan ia bermula dengan anda! Melalui eMFL, untuk membantu melonjakkannya, rangkaian produk NIVEA MEN akan membantu anda mempersiapkan dan mengatasi peluh, minyak dan kotoran sehingga anda dapat berprestasi tinggi dari aspek fizikal dan mental,” katanya.

Selain Nivea Men, LG Ultragear selaku penaja monitor skrin dan Blackbox Studio selaku penaja jersi kejohanan turut tampil sebagai penaja dalam Unifi eMFL Liga Super tahun ini.

Pemain-pemain yang terpilih terdiri daripada kalangan 12 pemain Malaysia yang menduduki tangga teratas dalam ranking FIFA.

Unifi eMFL Liga Super tahun ini memperkenalkan format yang lebih kompetitif iaitu Liga eMFL dan Grand Final di mana hanya lapan pemain teratas Liga eMFL sahaja yang layak untuk bertanding dalam pusingan Grand Final.

Juara Unifi eMFL Liga Super akan melayakkan diri ke East Asia Regional Cup yang dianjurkan oleh EA dan bakal beraksi di peringkat antarabangsa.

Kejohanan Unifi eMFL Liga Super akan disiarkan secara langsung menerusi platform laman sosial Facebook milik MFL, eMFL dan Gamesbond bermula 20 April 2021.