KUALA TERENGGANU - Seorang buruh dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dengan menyamar sebagai anggota polis.
Tertuduh, Mohd Saiful Nizam Zulkefli, 33 dari Kelantan didakwa bersama-sama seorang lagi yang sudah dituduh melakukan rompakan berkumpulan terhadap mangsa, Mohd Rosdi Yusof, 45, dengan mengambil dan melarikan wang tunai RM3,000 serta sebuah kereta Proton Exora putih.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di Kampung Kubang Kekura, Jalan Wakaf Che Kapor, di sini pada jam 6.45 pagi, 31 Mac 2018.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak di hadapan Hakim Nooriah Osman sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Nooriah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 31 Disember tahun lalu.
Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian mangsa yang sedang tidur di kediamannya di lokasi telah dikejutkan oleh isterinya memaklumkan ada orang sedang mengetuk pintu rumah.
Mangsa terus membuka tingkap rumah dan melihat ada tiga lelaki tidak dikenali berada di luar rumah.
Lelaki pertama telah memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari Bukit Aman manakala lelaki kedua (tertuduh) yang memakai topi berwarna merah memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Terengganu.
Lelaki ketiga pula dilihat berada di belakang kereta Proton Exora miliknya. Selepas itu, mangsa diminta oleh lelaki pertama menyerahkan kunci kereta untuk pemeriksaan.
Mangsa tanpa berfikir panjang terus menyerahkan kunci kenderaan itu sambil bertanyakan sama ada dia ada buat apa-apa yang salah namun lelaki itu hanya menyatakan ingin membuat pemeriksaan terhadap kereta tersebut.
Kemudian, lelaki pertama memberitahu yang dia terpaksa menahan mangsa bersama kereta untuk dibawa ke balai polis Kuala Terengganu.
Semasa itu, mangsa percaya lelaki itu adalah polis kerana melihat gari di dalam poket seluar dipakai serta nampak bentuk seperti pistol berada di pinggang dalam baju dipakainya sebelum mangsa memberitahu dia ingin menukar pakaiannya dan mengambil beg duit sebelum ke balai polis.
Kemudian mangsa dibawa masuk ke dalam kereta Proton Exora tersebut yang dipandu lelaki pertama, manakala tertuduh duduk di tempat duduk hadapan dan mangsa duduk di bahagian belakang.
Semasa dalam perjalanan, mangsa diminta mengeluarkan wang sebanyak RM3,000 sekiranya tidak mahu ditahan lokap. Mangsa yang risaukan keselamatan isteri dan anak-anak memandangkan lelaki ketiga tidak ikut sama.