Jel lima bulan ceroboh, mencuri di masjid

Iklan
Gambar hiasan 123RF

KUALA LUMPUR - Padah menceroboh dan mencuri di sebuah masjid, seorang lelaki yang mempunyai tujuh rekod jenayah dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang dekat sini pada Rabu.

Majistret, Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu ke atas Sharuddin Nazardin, 42, selepas dia mengaku bersalah menceroboh dan mencuri di Masjid Nurul Iman, Kampung Kenanga Batu 18, Rawang, Selangor antara jam 12.15 dan 12.30 tengah malam pada 6 April lepas.

Iklan
Iklan

Sharuddin dijatuhi hukuman penjara empat bulan bagi pertuduhan menceroboh, manakala penjara lima bulan untuk pertuduhan mencuri, namun mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tangkap pada 11 April lepas.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah menceroboh dengan memasuki dalam kawasan masjid berkenaan dan naik ke atas atap masjid sementara itu bagi pertuduhan kedua Sharudin didakwa mencuri sebuah telefon bimbit, lima helai baju pagoda, 10 helai seluar, satu beg silang, tiga peranti bebas tangan dan wang tunai RM150 milik kakitangan masjid itu yang keseluruhannya bernilai RM700.

Iklan

Pertuduhan pertama adalah mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau dengan denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sementara pertuduhan kedua adalah di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda.

Mengikut fakta kes, pada masa kejadian tertuduh telah masuk ke kawasan masjid dengan cara memanjat ke atas bumbung dan memecahkan atap masjid.

Iklan

Tertuduh juga telah masuk ke dalam sebuah bilik kabin masjid tersebut semasa pengadu sedang tidur dan telah mencuri barang-barang seperti mana dalam pertuduhan.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman berbentuk denda yang ringan dengan alasan dia menanggung ibu bapanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal dengan alasan tertuduh mempunyai tujuh rekod jenayah sejak 2015.

"Sebelum ini tertuduh pernah dihukum bagi pelbagai kesalahan antaranya curi dan dadah,” katanya. - Bernama