BATU PAHAT – Kerajaan negeri Johor akan mengkaji semula dasar Dasar Satu Murid Satu Sukan (1M1S) yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu sama ada pelaksanannya sebelum ini memberi manfaat atau sebaliknya.
Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, pihaknya sememangnya menggalakkan setiap pelajar bermula dari peringkat sekolah lagi untuk terus aktif dalam bidang kokurikulum termasuklah aktiviti yang membabitkan sukan.
"Bagaimanapun, perbincangan berkaitan hal ini (1M1S) turut akan dilakukan bersama exco yang berkaitan dengan pendidikan di negeri ini agar dapat meneruskan dasar terbabit supaya mampu melahirkan generasi yang dapat ‘membudayakan’ bidang sukan ini.
"Secara peribadi saya berharap dasar ini dapat diteruskan kerana mampu melahirkan generasi yang cergas sekaligus mampu mencungkil bakat-bakat dalam sukan tertentu bermula dari peringkat persekolahan lagi,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Semerah berkata kepada pemberita semasa majlis penutupan Program Inspirasi Semerah 2019-Aspirasi Teraju Johor Bestari di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat, di sini, kelmarin.
Turut hadir ialah Ikon Karisma dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang juga Ratu Rock Negara, Ella; atlet bina badan negara, Sazali Abdul Samad dan penerbit rancangan Terjah, Nas Ahmad.
Pada masa sama, program yang julung kali dianjurkan ini sebagai kesinambungan dan saluran Titik Fokus Johor yang menumpukan usaha kerajaan negeri kepada rakyat di dalam menggapai matlamat ‘Menerajui Perubahan, Menggalas Harapan Bangsa Johor Bestari’.
Menurutnya, program yang diterajui oleh aktivis pendidikan, masyarakat,mahasiswa dan selebriti dari seluruh Malaysia ini juga akan menjelajah ke daerah-daerah lain di dalam menebarkan saluran dan perkongsian pendidikan alaf baru kepada pelbagai lapisan masyarakat.
"Program Inspirasi Karisma Johor yang bermula di DUN Semerah ini bertujuan mencungkil, membangun dan memimpin generasi muda yang sepatutnnya bersifat merancang dan bukan dirancang.
"Namun, tujuan utama program ini adalah untuk memberi kesedaran terutamanya kepada golongan muda untuk terus memerangi najis dadah serta kesannnya sekiranya terlibat dalam penyalahgunaan bahan terlarang berkenaan,” katanya.
Menurutnya, elemen pendidikan dan pembangunan kepimpinan generasi muda menjadi tunjang utama program ini selain aktiviti tradisi yang dekat di hati masyarakat juga tidak akan dipinggirkan.