MBIP laksana sistem kupon elak bazar Ramadan sesak

Iklan
Mohd Haffiz (dua dari kanan) mengedarkan kupon kepada pengunjung Bazar Ramadan Nusa Perintis pada Rabu.

ISKANDAR PUTERI - Sistem kupon yang diperkenalkan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) kepada pengunjung bazar Ramadan dapat mengelakkan berlakunya kesesakan.

Datuk Bandar MBIP, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, sistem kupon terbabit dipraktikkan di 11 tapak bazar Ramadan di bawah seliaan MBIP selain sembilan tapak bazar yang dikendalikan pihak swasta di kawasan pentadbiran Iskandar Puteri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, MBIP menyediakan kupon di 20 tapak bazar Ramadan dan melakukan pemantauan di semua bazar terbabit yang mempunyai 1,050 tapak gerai.

"Selain itu, seramai empat hingga lima anggota penguat kuasa MBIP diletakkan di setiap bazar Ramadan bagi melakukan pemantauan berkaitan pematuhan produser operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Iklan

"Sebagai contoh, di Bazar Ramadan Nusa Perintis pengunjung yang masuk akan diberikan kupon. Sebanyak 244 kupon disediakan di mana terdapat sejumlah 122 buah gerai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pematuhan Bazar Ramadan Nusa Perintis pada Rabu.

Iklan

Menurut Mohd Haffiz, kupon yang diberikan dapat mengawal jumlah pengunjung agar mereka tidak bersesak-sesak dalam satu masa.

"Pengunjung juga perlu mematuhi SOP lain seperti memakai pelitup muka, mengimbas aplikasi MySejahtera dan memeriksa suhu badan.

"Penganjur dan peniaga turut diingatkan agar mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk menjaga kebersihan selain memainkan peranan dengan memastikan pelanggan mematuhi SOP ditetapkan," katanya.

Sementara itu, pengunjung yang ditemui memuji pendekatan penggunaan kupon bagi pengunjung bazar Ramadan di kawasan MBIP.

Kakitangan swasta, Mohd Ali Farid, 34, berkata, penggunaan kupon yang sebelum ini pernah dilihat digunakan di pasar raya ternyata berkesan untuk mengawal jumlah pengunjung supaya tidak terlalu ramai.

"Sistem kupon ini bagus sebab saya lihat ramai yang hendak memasuki kawasan bazar Ramadan terutama selepas jam 5 petang.

"Jumlah terlalu ramai dibimbangi akan melanggar SOP ditetapkan. Oleh itu, dengan adanya sistem kupon ini jumlah pengunjung dapat dikawal," katanya.