PBT boleh kompaun individu langgar SOP bazar Ramadan

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Individu yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan kini bakal berdepan dengan tindakan kompaun daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) selain Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, KKM menurunkan kuasa mengkompaun kepada Datuk Bandar, Yang Dipertua dan Pegawai Penguatkuasa PBT Gred 19 ke atas bagi kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) berkuat kuasa Rabu.

Iklan
Iklan

"Mereka boleh mengkompaun apa-apa kesalahan di bawah Akta 342 termasuk sebarang ketidakpatuhan SOP di bazar-bazar Ramadan.

"Ia kerana Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerima beberapa aduan orang ramai mengenai ketidakpatuhan SOP di bazar Ramadan di beberapa lokasi di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Ismail Sabri menegaskan, perkara itu dipandang serius kerana penularan wabak Covid-19 masih berada di tahap membimbangkan.

"Sehubungan itu, PBT digesa untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam memastikan pelaksanaan SOP yang dikeluarkan oleh MKN dan KKM dipatuhi sepenuhnya.

Iklan

"Orang ramai juga diminta memberi kerjasama kepada PBT dalam membantu negara melandaikan lengkuk penularan wabak Covid-19," katanya.