KUALA LUMPUR - Kegiatan pelacuran di bulan Ramadan di sebuah hotel di Jalan Nagasari di sini, terbongkar dengan tertangkapnya empat wanita warga asing, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, operasi Ops Noda kira-kira jam 5 petang itu dilakukan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
"Empat wanita warga asing telah ditahan dan siasatan mendapati mereka terdiri daripada seorang warga Bangladesh, dua Thailand dan seorang Uganda.
"Polis dapati suspek wanita Bangladesh ini berperanan sebagai penjaga premis manakala tiga lagi wanita disyaki pelacur," katanya pada Rabu.
Beliau berkata, operasi tersebut turut bertindak merampas tiga telefon bimbit.
Katanya, pihaknya percaya aktiviti pelacuran itu mula beroperasi sejak 4 April lalu.
"Soal siasat mendapati pelanggan dikenakan bayaran RM50 bagi setiap langganan seks," katanya.
Tambahnya, kesemua tangkapan kini direman sehingga 17 April untuk siasatan di bawah Seksyen 373 Kanun Keseksaan, Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen.