RAMADAN ialah bulan suci yang dihidupkan oleh umat Islam yang normal kesihatannya. Bagi mereka yang sihat ini, berpuasa diwajibkan pada bulan Ramadan. Namun ramai penganut agama Islam yang berpenyakit serta mengambil ubat suka dan bersedia untuk berpuasa.
Bagi yang sihat atau sakit, mereka tetap mahu mengabdikan diri kepada ALLAH SWT serta menuruti sunnah Rasulullah SAW menerusi puasa bulan Ramadan. Ini sudah tentu melambangkan keazaman yang sangat tinggi.
Para pesakit ini tidak mahu penyakit dan rawatan ubatan menjadi penghalang kepada mereka dalam melaksanakan rukun Islam ini. Bagi mereka, keberkatan Ramadan serta kemanisan iman mengatasi kesukaran yang mereka hadapi lantaran penyakit mereka.
Di sinilah peranan penting doktor yang merawat serta mempreksripsi ubat. Begitu juga dengan tanggungjawab ahli farmasi yang mengendali ubat untuk diberikan kepada pesakit.
Para profesional penjagaan kesihatan mempunyai tanggungjawab memastikan keputusan untuk tindakan pesakit mestilah dilaksanakan selepas perbincangan bersama. Pesakit perlu mengetahui akan had dan kebolehan dirinya untuk berpuasa.
Sementara semua pesakit yang berada dalam rawatan farmakologi atau farmasi (farmakoterapi) perlu mendapatkan nasihat doktor dan ahli farmasi mereka, berikut ialah beberapa nota panduan yang boleh dipertimbangkan.
Kesihatan diutamakan dalam Islam. Sikap memaksa diri untuk berpuasa serta mengorbankan kesihatan tidak dibenarkan dalam Islam.
Umumnya suntikan, penyedut (inhaler), supositori dan ubat titik ke telinga dan mata boleh digunakan.
Pesakit diabetes atau kencing manis menghadapi risiko hipoglisemia atau keadaan kurang gula dalam tubuh.
Pesakit diabetes yang mempunyai banyak komplikasi tidak digalakkan berpuasa. Pesakit yang mengambil insulin perlu berbincang dengan doktor yang merawat tentang keperluan mengukur aras glukos sebelum, semasa dan selepas puasa. Simptom serta tanda penting gula darah rendah mestilah diketahui oleh pesakit.
Ubah suai
Ubatan-ubatan yang perlu diambil beberapa kali sehari mestilah diubah suai pengambilannya. Nasihat doktor yang diikuti dengan taat dapat mengelakkan komplikasi tidak diingini.
Air merupakan bahan penting bagi hidrasi badan secara optimum sewaktu puasa. Aktiviti yang melibatkan pesakit terdedah kepada keterikan sinaran matahari serta suhu yang tinggi mestilah dielakkan. Jika penyahhidratan berlaku, pesakit mestilah berbuka puasa dan minum air secukupnya.
Bagi pesakit psikiatri pula, prinsip pengambilan ubat atau farmakoterapi semasa berpuasa pada bulan Ramadan adalah sama dengan pesakit lain yang sedang menjalani farmakoterapi.
Ubat yang perlu diambil tiga kali sehari atau jika diperlukan sekali dalam sehari perlu diubah suai pengambilannya menurut masa berpuasa, berbuka dan waktu sahur.
Ubat antidepresan untuk kemurungan, antianzieti untuk kebimbangan, penstabil mood untuk kecelaruan mood, antipsikotik untuk kumpulan penyakit psikosis merupakan kelompok ubat psikiatri yang kompleks.
Pesakit yang mengambilnya memerlukan perhatian rapi daripada doktor. Berlainan pesakit berlainan pula reponsnya kepada rawatan ubatan ini.
Kesan sampingan seperti pening kepala, penglihatan kabur, keletihan serta kelemahan merupakan isyarat yang serius kepada pesakit bahawa komplikasi sudah mula berlaku, khususnya jika pesakit mengambil ubat sambil berpuasa.
Penyahhidratan, aras glukos yang berkurangan serta hipotensi atau kekurangan tekanan darah adalah antara komplikasi yang mesti diberitahu oleh doktor kepada pesakit yang menjalani rawatan psikiatri.
Apa-apa pun jenis ubat diambil pesakit, perbincangan dengan doktor yang merawat adalah satu kewajipan supaya puasa yang dilaksanakan menjadi selamat dan kesihatan terjaga pada bulan Ramadan. ALLAH SWT tidak membebankan sesuatu jiwa lebih daripada apa yang dapat dapat dipikul oleh hamba-Nya itu.
* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pakar Psikiatri dan Presiden, Persatuan Terapi Psikospiritual Malaysia