MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjangkakan, lebih ramai atlet akan menyertai 12 atlet negara yang telah pun melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo pada Julai depan.
Keyakinan itu dilontarkan, susulan seramai 23 atlet di bawah Program Road To Tokyo (RTT) 2020, kini dalam usaha memburu slot di temasya tersebut menerusi proses kelayakan, yang masih berlangsung sehingga Jun.
"Sebagai contoh dalam sukan badminton Lee Zii Jia sudah dapat (slot ke Olimpik), tetapi saya tidak masukkan dalam senarai 12 atlet lagi, kerana proses kelayakannya masih lagi terbuka.
"Boleh kata semua ada peluang layak, melainkan satu iaitu sukan terjun kerana proses kelayakannya ditangguh dan masih lagi menanti status satu lagi kejohanan kelayakan yang akan diadakan,” katanya pada sidang media majlis pelancaran Detik 100 Hari ke Tokyo 2020 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini pada Rabu.
Menyentuh mengenai sukan terjun, Reezal Merican berkata sekiranya medan kelayakan terakhir itu dibatalkan, ia bukan sahaja menjejaskan peluang penerjun negara, malah dari seluruh dunia termasuk China yang merupakan kuasa besar sukan itu.
"Jadi saya tidak mahu maklumkan secara pra matang (jumlah atlet), sebab masih lagi ada ruang sehingga bulan Jun,” jelasnya.
Sehingga kini, Malaysia telah mengesahkan penyertaan ke temasya Sukan Olimpik Tokyo dalam sukan terjun, pelayaran, berbasikal trek, memanah dan gimnastik artistik.
Antara 12 atlet yang sudah pun layak adalah Khairul Anuar Mohamad (memanah); Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal trek); Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee, Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee (terjun).
Selain itu Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik artistik) dan empat atlet pelayaran - Khairulnizam Mohd Afendy, Nur Shazrin Mohd Latif, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali.
Seramai 32 atlet, terdiri daripada 17 lelaki dan 15 wanita, mewakili negara ke temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janiero, Brazil.