BARISAN atlet negara bagaikan mendapat semangat baharu bagi mengharungi Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 selepas menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 pada Selasa.
Menjelang 100 hari sebelum tirai temasya Olimpik Tokyo 2020 disingkap secara rasminya, mereka cukup teruja menjadi kumpulan pertama atlet sebagai penerima suntikan vaksin Covid-19.
Terdiri daripada 93 atlet normal dan 35 atlet para, rata-rata mereka yang sudah layak dan sedang memburu tiket Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo mengakui berasa ‘lebih selamat’ apabila menerima suntikan itu.
Setakat ini, seramai 12 atlet telah mengesahkan slot secara automatik ke Olimpik Tokyo yang bakal berlangsung dari 23 Julai hingga 18 Ogos depan.
Daripada jumlah itu, kontinjen Malaysia sudah mempunyai empat wakil dalam acara terjun, pelayaran (empat), berbasikal trek (dua) manakala memanah (satu) dan gimnastik artistik (satu).
Pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan dari 24 Ogos hingga 5 September pula, seramai 10 atlet secara rasmi telah mengesahkan tempat mereka, masing-masing menerusi acara renang, memanah, olahraga, boccia dan powerlifting.
Selepas kedua-dua temasya sukan paling berprestij di dunia itu ditangguhkan tahun lalu ekoran pandemik Covid-19, kini tumpuan kembali terarah kepada kontinjen Malaysia dalam misi meraih emas sulung Olimpik.
Selain jaguh lumba basikal trek, Azizulhasni Awang, dua lagi nama - Lee Zii Jia dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom mula disebut-sebut sebagai prospek untuk menjelmakan kilauan emas buat Malaysia.
Tatkala kelibat bekas bintang badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tiada lagi di pentas Olimpik kali ini, tiga atlet elit itu menjadi sandaran terbaik bagi mengakhiri penantian panjang jutaan rakyat Malaysia.
Kejayaan Zii Jia menjuarai Seluruh England bulan lalu serta kayuhan bertenaga Azizulhasni dan Shah Firdaus di velodrom setidak-tidaknya menerbitkan harapan untuk kita melihat emas pertama Sukan Olimpik.