Dua pemandu parah dalam kejadian lawan arus

Iklan
Kedua-dua pemandu kereta parah dan tidak sedarkan diri dalam kemalangan di Lingkaran Luar Butterworth (BORR) pada jam 8.20 malam, Rabu.

BUTTERWORTH - Dua pemandu kereta parah dan tidak sedarkan diri apabila terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Lingkaran Luar Butterworth (BORR), di sini pada jam 8.20 malam, Rabu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati, kejadian melibatkan dua kereta dan sebuah motosikal itu berpunca daripada salah sebuah daripada kereta terlibat dikatakan telah melawan arus.

Iklan
Iklan

Menurutnya, punca pemandu tersebut melawan arus belum diketahui berikutan dia kini tidak sedarkan diri kerana cedera parah.

"Kejadian yang berlaku di Kilometer 13.0 BORR arah Bagan Ajam itu melibatkan kereta jenis Toyota Corolla Altis, Honda City dan motosikal Benelli Leoncino. Kemalangan berpunca selepas pemandu Honda City dari arah Bagan Ajam menghala ke Sungai Dua telah memandu melawan arus.

Iklan

"Akibatnya, kereta tersebut telah bergesel dengan motosikal lalu melanggar kereta Toyota Corolla Altis secara bertentangn (yang berada di laluan yang sah)," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Tambahnya, susulan pelanggaran itu, dua pemandu kereta parah dan tidak sedarkan diri namun penunggang motosikal serta pembonceng tidak mengalami kecederaan.

Iklan
Penunggang dan pembonceng motosikal tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan di Lingkaran Luar Butterworth (BORR) pada jam 8.20 malam, Rabu.

"Penunggang berusia 24 tahun dan pembonceng, 28, tidak terjatuh dan tidak mengalami kecederaan, manakala pemandu Honda City, 43, serta pemandu Toyota Corolla Altis, 35, yang tidak sedarkan diri kini dirawat di Hospital Seberang Jaya.

"Sementara itu, isteri kepada pemandu Toyota Corolla Altis yang berusia 31 tahun serta anak mereka berusia tiga tahun hanya mengalami kecederaan dan dirawat di hospital sama," katanya.

Noorzainy berkata, penunggang motosikal dan dua pemandu kereta mempunyai lesen memandu yang sah tempoh selain lesen kenderaan bermotor mereka juga masih sah tempoh.

"Polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan usaha mengesan saksi sedang dilakukan untuk menjalankan siasatan lanjut. Orang awam yang menyaksikan kejadian boleh tampil menyalurkan maklumat di balai polis terdekat atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Syafinaz di talian 018-2881424.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya