KUALA LUMPUR - Permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan parti itu, didengar pada 31 Mei ini.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid yang menetapkan tarikh tersebut pada pengurusan kes hari ini berkata, mahkamah perlu mendengar kes itu dengan kadar segera kerana ia merupakan kes kepentingan awam.
"Mahkamah mengarahkan responden (Menteri Dalam Negeri dan RoS) memfailkan afidavit jawapan sebelum atau pada 3 Mei manakala pemohon (Pejuang) perlu memfailkan afidavit balasan sebelum atau pada 10 Mei. Kedua-dua pihak juga perlu memfailkan hujahan bertulis sebelum atau pada 27 Mei," katanya.
Prosiding itu dihadiri peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Pejuang dan Peguam Kanan Persekutuan, Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman yang bertindak bagi pihak Menteri Dalam Negeri dan RoS.
Pada 1 April lalu, Pejuang memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan RoS yang belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan parti itu, selepas Jabatan Peguam Negara tidak membantah permohonan parti itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Daftar parti: Pejuang dibenar cabar tindakan menteri, RoS
Perlembagaan parti Pejuang, Muda tidak teratur: Hamzah
RoS tolak permohonan pendaftaran Pejuang
Pada 1 Mac lepas, Setiausaha Agung Jawatankuasa Penaja Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan RoS sebagai responden pertama dan kedua.
Dalam permohonan itu, Amiruddin antaranya memohon deklarasi bahawa kegagalan responden pertama untuk membuat sebarang keputusan terhadap surat rayuan parti Pejuang pada 8 Januari lepas berkenaan penolakan pendaftaran oleh responden kedua telah melanggar kewajipan statutorinya di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966.
Beliau juga memohon deklarasi bahawa pelanggaran kewajipan statutori responden pertama untuk membuat sebarang keputusan terhadap rayuan parti Pejuang itu berkenaan penolakan pendaftaran oleh responden kedua adalah tidak munasabah, berniat jahat, satu bentuk percubaan tidak wajar untuk menafikan hak berperlembagaan pemohon untuk berpersatuan dan bertanding dalam pilihan raya umum menggunakan logonya sendiri.
Media pada 2 Februari lalu melaporkan, Pejuang yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung pendaftaran parti itu setelah permohonan mereka ditolak.
Hamzah pula dilaporkan berkata, permohonan pendaftaran Pejuang ditolak pada 6 Januari lepas berdasarkan peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta Pertubuhan 1966 dan parti itu boleh mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan. - Bernama