Bazar Aidilfitri Lorong TAR dibuka semula bermula Sabtu ini

Iklan
DBKL sedang giat melakukan persediaan di tapak bazar Aidilfitri Lorong TAR yang akan memulakan operasi pada Sabtu ini. Foto: Ihsan FB DBKL

KUALA LUMPUR - Bazar Aidilfitri di Lorong Tunku Abdul Rahman (TAR) bakal dibuka semula operasi kepada orang awam bermula Sabtu ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi kemaskini di laman Facebook pada Khamis berkata, buat masa ini, proses persediaan sedang giat dilakukan di tapak berkenaan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Iklan
Iklan

DBKL berkata, orang ramai turut diingatkan agar tidak alpa dan dapat mematuhi SOP ditetapkan bagi membantu melandaikan jangkitan wabak Covid-19.

"Suasana Aidilfitri tahun ini menjadi sedikit meriah berbanding tahun lepas dengan keizinan kerajaan untuk membenarkan aktiviti perniagaan Bazar Ramadan dan Aidilfitri beroperasi semula dengan pematuhan SOP ditetapkan," katanya.

Iklan

18 Mac lalu, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa memaklumkan Bazar Aidilfitri di sekitar Lorong TAR akan dibuka semula dengan pematuhan SOP yang ketat.

Keputusan itu dibuat susulan pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memaklumkan bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri dibenarkan beroperasi di seluruh negara bagi tahun ini dengan mengikut SOP ditetapkan.

Iklan

Pada tahun 2019, tapak bazar di Lorong TAR telah dipindahkan ke Jalan Raja bagi mengatasi isu berbangkit termasuk aspek kebersihan, tadbir urus dan pihak yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan atas angin.