Guna pakai teknologi baharu percepat pemulihan ekonomi: PM

Iklan
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyampaikan kata-kata aluan pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama industri di Dewan Perdana, Menara MITI hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sektor swasta perlu mengguna pakai teknologi baharu agar negara dapat mempercepat pemulihan ekonominya, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 menjadi pemangkin untuk mempercepatkan penggunaan penyelesaian digital dan ia juga menunjukkan kepentingan untuk menaik taraf dan mengukuhkan teknologi dan infrastruktur bagi memudahkan proses menjalankan perniagaan.

Iklan
Iklan

"Ini termasuk mengurangkan pergantungan kita kepada buruh tidak mahir ketika kita beralih ke fasa automasi dan digitalisasi,” katanya dalam ucapan beliau semasa sesi dialog bersama industri yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, di sini, pada Khamis.

Muhyiddin berkata, satu lagi hikmah di sebalik pandemik yang berlaku adalah tindakan segera untuk menggerakkan agenda inklusi digital, bagi membolehkan berjuta-juta orang bekerja, belajar dan berhubung secara digital.

Iklan

"Pandemik ini telah menyedarkan kita bahawa untuk terus maju ke hadapan, kita perlu lari daripada kebiasaan dan membangunkan pelbagai langkah untuk mengurangkan impak pandemik terhadap rakyat dan ekonomi kita. Ia bukan lagi keadaan seperti biasa. Sudah sampai masanya untuk mencari idea baharu. Sudah sampai masanya untuk berinovasi,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan baru-baru ini mengumumkan Pelan Tindakan Transformasi Digital, yang mengandungi pelan yang menumpu untuk mengembang dan menambah baik kesalinghubungan digital Malaysia.

Iklan

Menurutnya, pelan tindakan Jalinan Digital Negara (Jendela) berjumlah AS$12.7 bilion (AS$1=RM4.12), akan menjadi platform bagi mencapai aspirasi ini dengan mempercepat kesalinghubungan digital negara menerusi penggunaan mudah alih, gentian dan akses tanpa wayar tetap secara meluas, dan membuka jalan kepada 5G.

"KIta percaya ia akan mendorong penggunaan teknologi dan transformasi digital. Ini perlu bagi trajektori ekonomi negara. Malaysia juga menyedari industri berasaskan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) akan mempercepat pertumbuhan ekonomi digital kita.

"Di bawah inisiatif didorong teknologi IR4.0, kita telah memperkenalkan Malaysia 5.0 – agenda transformasi digital bagi perniagaan, untuk menangani akses kepada digital, inklusi kewangan, produktiviti dan pertumbuhan menerusi instrumen industri 4.0 seperti teknologi kewangan (fintech), blockchain dan Kecerdasan Buatan (AI),” katanya.

Muhyiddin berkata, dengan Malaysia 5.0, ekonomi digital akan diperkasakan bagi menyumbang ke arah ekonomi sirkular dan lebih mampan.

Perdana Menteri juga menyifatkan teras pemulihan ekonomi ini adalah berdasarkan kejayaan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang kini memasuki fasa kedua.

"Apabila semakin ramai rakyat mendapat vaksinasi, saya yakin kita semakin hampir untuk melihat pandemik ini berakhir dengan berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Bank Negara Malaysia telah mengunjurkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan kembali meningkat kepada 6.0 hingga 7.5 peratus pada tahun ini dengan pemulihan stabil aktiviti domestik berserta peningkatan permintaan luaran yang menjadi faktor asas dan pendorong sentimen optimis sedemikian.

Beliau berkata, sebagai sebuah ekonomi yang banyak bergantung kepada perdagangan, Malaysia akan terus berperanan sebagai penyokong utama sistem perdagangan pelbagai hala yang berteraskan peraturan.

Malah, jelas beliau, Malaysia akan terus terbabit dalam libat urus secara konstruktif merangkumi inisiatif-inisiatif integrasi ekonomi serantau, termasuk menerusi pembabitan aktif dalam usaha perjanjian perdagangan bebas yang membawa manfaat ketara untuk negara.

"Ini merupakan alasan utama di sebalik penyertaan kita dalam Perjanjian Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) yang memberi akses terhadap satu pertiga pendudukan dunia selain sebagai pasaran yang menyumbang 29 peratus kepada KDNK global,” katanya.

Mengulas kemajuan di masa depan, Perdana Menteri menyuarakan harapan agar komuniti perniagaan serta individu-individu persendirian untuk terus memainkan peranan penting dalam pengurusan serta membendung pandemik Covid-19.

"Kita perlu terus melaksanakan pendekatan keseluruhan masyarakat bagi menerapkan sikap kebergantungan diri dan semangat perpaduan. Usaha membendung pandemik serta menangani impak akibatnya adalah tanggung jawab kita secara bersama.

"Sehubungan itu, saya sekali lagi perlu menegaskan bahawa peranan industri sememangnya amat penting bagi mencapai matlamat bersama untuk melindungi kehidupan serta mata pencarian,” kata beliau. - Bernama