ALOR SETAR - Pasar Borong Alor Setar di Seberang Jalan Putra di sini akan disanitasi pada Jumaat susulan terdapat dua pekerja di premis berkenaan yang disahkan positif Covid-19.
Pengarah Urusan Syarikat Saudagar-Saudagar Ikan Sdn Bhd, Datuk Koay Hai Kiang mengesahkan perkara itu selepas surat pemakluman berkaitan kes positif Covid-19 tular pada Rabu.
Beliau berkata, proses nyahkuman premis berkenaan akan dilakukan selepas operasi pasar borong itu selesai dengan kerjasama pasukan bomba sukarela.
"Buat masa ini, operasi keseluruhan berjalan seperti biasa bermula dari tengah malam hingga awal pagi. Kita jangkakan proses nyahkuman sekitar jam 11.30 pagi.
"Hanya satu premis dalam pasar itu ditutup sementara melibatkan pekerjanya yang positif Covid-19, manakala premis lain dibuka seperti biasa,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Hai Kiang berkata, setakat ini, lebih 130 pekerja pasar berkenaan sudah menjalani ujian calitan Covid-19 dan kebanyakan keputusan adalah negatif.
"Sebaik menerima laporan terdapat kes positif Covid-19 di pasar borong ini, pihak lembaga syarikat mengambil perhatian segera memaklumkan kepada peniaga untuk mengambil langkah-langkah perlindungan.
"Pihak lembaga turut mengambil inisiatif sendiri untuk menjaga keselamatan dan kesihatan pelanggan kita,” ujarnya.
Tambah beliau, perkara itu juga telah dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Buat masa ini tiada arahan daripada KKM untuk menutup keseluruhan operasi pasar borong ini. Memadai hanya premis terlibat ditutup sementara,” katanya.
Hai Kiang berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana pihaknya telah mengambil langkah-langkah perlu termasuk sanitasi premis berkenaan.
"Saya ingin mengingatkan semua warga pasar borong untuk meningkatkan tindakan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan pandemik Covid-19,” katanya.