Menjayakan agenda sifar plastik

Iklan
Dikatakan, bagi setiap lima minit, sehelai beg plastik digunakan mengambil masa lebih 50 tahun untuk mereput. - sumber foto: Xarxanet

TULISAN ini berkisar tentang Agenda Sifar Plastik atau akronimnya ASaP. Akronim ini amat popular untuk satu singkatan dalam bahasa Inggeris yang membawa erti As Soon As Possible. Ini bererti agenda ini (ASaP) lebih baik dipercepatkan pelaksanaannya untuk manfaat negara dan rakyat atas sebab-sebab tertentu.

Pada sejarahnya, penggunaan bahan-bahan yang diperbuat daripada plastik telah lama diguna pakai oleh masyarakat di negara kita. Beg plastik, straw plastik, cawan dan pinggan plastik merupakan bahan plastik yang paling banyak digunakan. Sumbangan bahan-bahan ini kepada krisis pemanasan global telah menjadi perdebatan hangat di negara ini.

Iklan
Iklan

Walaubagaimanapun, penggunaannya masih lagi meluas dalam kalangan orang ramai. Pembungkusan makanan menggunakan bahan plastik mahupun styrofoam menjadi pilihan utama masyarakat kerana ia dirasakan lebih praktikal, ringan dan boleh digunakan berulang kali selagi masih dalam rupa bentuk yang baik. Hal ini terjadi kerana dirasakan kurangnya kesedaran orang awam terhadap kesan-kesan jangka panjangnya terhadap kesihatan dan alam sekitar.

Menurut sumber laman web rasmi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, terdapat lebih 280 000 tan buangan sisa-sisa plastik dan polisterina yang telah diguna pakai sehingga tahun 2016 dan menyumbang kepada pencemaran. Plastik juga merupakan sumber buangan kedua terbesar selepas kertas yang bernilai hampir RM163 juta.

Iklan

Tahukah anda, bagi setiap lima minit, sehelai beg plastik digunakan mengambil masa lebih 50 tahun untuk mereput? Berdasarkan artikel oleh Subashini Rajandra bertajuk ‘500 tahun tidak reput’, secara purata, seorang individu menggunakan hampir lapan keping beg plastik seminggu.

Artikel tulisan Subashini ini merumuskan juga bahawa 36 peratus daripada mereka yang ditemu ramah mengakui membuang beg plastik selepas sekali penggunaan sahaja. Penggunaan bahan-bahan plastik ini juga telah memudaratkan kesihatan manusia serta haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Iklan

Menurut US Food and Drug Administration (FDA), bahan kimia yang terdapat dalam bahan-bahan plastik ini akan terembes keluar terutama apabila digunakan pada suhu yang tinggi.

Sebagai contoh, membungkus makanan-makanan dan minuman panas dengan pembungkus plastik adalah sangat tidak elok untuk kesihatan kerana secara tidak langsung bahan kimia daripada plastik tersebut akan terembes keluar dan meresap ke dalam makanan atau minuman yang seterusnya akan masuk ke dalam tubuh badan manusia yang memakannya.

Bahan kimia ini tidak dapat dihadam oleh sistem pencernaan seterusnya membentuk radikal bebas di mana ia menjadi salah satu penyebab penyakit kanser yang semakin meningkat di seluruh dunia. Selain itu, bahan-bahan plastik yang dibuang ke dalam sungai oleh manusia yang tidak bertanggungjawab akan dihanyutkan ke dalam laut dan ini seterusnya telah membunuh ratusan penyu dan hidupan marin yang memakannya ataupun yang lemas akibat terperangkap di dalam bahan-bahan plastik ini.

Kesedaran terhadap keburukan dan mudarat bahan-bahan plastik ini telah menggesa pihak kerajaan untuk mengambil langkah-langkah bagi mengurangkan dan seterusnya menghentikan penggunaannya. Antara langkahnya adalah dengan menghentikan bekalan dan jualan bahan-bahan plastik. Saranan kepada rakyat agar membawa beg atau troli sendiri ke pasar juga salah satu alternatifnya. Iklan-iklan mengitar semula bahan-bahan plastik dan bahan-bahan terpakai telah giat diadakan.

Pengharaman penggunaan bekas plastik dan polisterina bagi mengisi makanan juga telah dikuatkuasakan hampir di seluruh kafeteria di universiti awam dan swasta. Langkah yang lebih drastik telah dilaksanakan oleh beberapa buah negeri apabila telah mengambil tindakan menyita kilang-kilang pembuatan plastik haram. Pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyekat pemberian permit import (AP) sisa plastik.

TESCO Malaysia merupakan antara pasar raya yang telah menyahut seruan kerajaan ini dengan menghentikan bekalan beg plastik kepada pelanggannya. Alternatifnya, pelanggan TESCO digalakkan menggunakan beg kain TESCO dan untuk membawa beg kain tersebut setiap kali membeli belah di pasar raya tersebut serta mata ganjaran akan diberikan kepada pelanggannya.

Mengambil contoh tauladan daripada negara luar seperti Amerika Syarikat, kedai-kedai pasar raya termasuk kedai-kedai runcit biasanya menggunakan beg kertas yang teguh sebagai alat pengganti plastik. Selain itu, kotak-kotak turut disediakan kepada para pelanggan yang ingin membawa barang-barang yang lebih besar dan berat.

Amalan ini patut kita contohi kerana selain dapat dikitar semula, kertas merupakan bahan mesra alam kerana mudah digredasi. Negara-negara yang telah mengharamkan penggunaan plastik ini termasuklah Kernataka di India, Kenya, Chile, United Kingdom, Australia dan China. Malaysia juga tidak terkecuali tersenarai dalam negara-negara yang sedang menuju ke arah pengharaman penggunaan bahan plastik ini.

Sehubungan dengan isu ini, beberapa kumpulan penyelidik di beberapa buah universiti di Malaysia juga telah giat menjalankan kajian bagi menggantikan bahan-bahan plastik dengan bahan lain yang lebih selamat dan biodegradasi.

Kajian yang dilakukan oleh Profesor Madya Dr Wan Aizan Wan Abdul Rahman bersama-sama kumpulannya dari Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Tenaga, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menghasilkan pelbagai produk berasaskan bahan-bahan terbuang daripada tumbuh-tumbuhan seperti nenas, kenaf dan lain-lain.

Penghasilan bahan daripada bahan-bahan alami seperti ini dapat menjadi sumber alternatif kepada bahan-bahan plastik yang sedia ada kini dan seterusnya platform ke arah alam sekitar dan kesihatan yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Kesimpulannya, ayuhlah kita bersama-sama bersatu hati dalam menangani masalah penggunaan plastik di nagara kita kerana telah sekian banyak fenomena yang tidak diingini telah berlaku berpunca daripada plastik ini. Jelasnya, sekiranya masalah ini dapat diatasi, rakyat dapat hidup dalam sejahtera dan negara akan lebih harmoni.

* Dr Nur Izyan Wan Azelee Pensyarah Kanan, Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Tenaga, Fakulti Kejuruteraan Kimia, UTM

* Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin Pensyarah Kanan, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,UTM