SHACHE -"Kami rasa selamat di sini (Xinjiang)", ujar Naib Setiausaha Agung Persatuan Islam Wilayah Autonomi Xinjiang China, Abdulweli Ablimit.
Dalam satu temu bual dengan Kumpulan Media China (CMG), beliau selaku Khatib Masjid Altun di kaunti Shache turut menyokong langkah kerajaan untuk membanteras golongan pelampau bagi melindungi agama yang sah di China.
Iklan
Iklan
Abdulweli menjelaskan, kerajaan berusaha untuk membanteras anasir jahat yang menyebarkan fahaman ekstrem agama, melakukan kemusnahan, mencetuskan perpecahan dan bertindak sebagai pengganas.
Menurut beliau, anasir jahat bukan sahaja memesongkan doktrin dan peraturan agama Islam, tetapi juga menyangkal segala pandangan sekular dan hasil tamadun moden.
"Mereka turut menyingkirkan, menganiayai bahkan membunuh tokoh agama sehingga membawa malapetaka kepada rakyat Xinjiang termasuk masyarakat Islam dan turut mencemarkan imej Islam," kata Abdulweli lagi.
Tambah beliau, setakat ini, insiden kekerasan dan keganasan sudah tidak berlaku di Xinjiang selama lebih empat tahun berturut-turut.
"Rasa selamat, tenang dan bahagia yang dinikmati masyarakat pelbagai etnik di Xinjiang beberapa tahun kebelakangan ini membuktikan dakwaan 'kaum Muslim Xinjiang ditahan kerana beragama' oleh individu dan media anti-China sama sekali bertujuan memutarbelitkan fakta dan sengaja mengada-adakan cerita," jelas Abdulweli. - Bernama