'Tak salah kalau saya bantu bangsa Cina, India sekali pun'

Iklan
Mohd Azam menemui lelaki itu di Pekan Sauk pada Rabu. - Foto Mohd Azam

GERIK -"Kita semua adalah manusia tiada bezanya pun, walaupun berlainan bangsa, saya tetap akan bantu kerana saya juga ada berkawan dengan India dan Cina".

Demikian kata-kata positif Mohd Azam Mohd Sharif, 32, setelah menghulurkan bantuan kepada seorang lelaki berbangsa India yang mengalami kesulitan selepas motosikal yang ditunggangnya rosak malah lebih menyedihkan, pemuda terbabit tidak memiliki wang.

Iklan
Iklan

Mohd Azam terdetik untuk membantu lelaki berkenaan selepas melihat dia menahan sebuah kereta sambil memegang helmet berhampiran lampu isyarat di Pekan Sauk jam 5.50 petang pada Rabu.

"Kebetulan saya dalam perjalanan memandu dari Ipoh hendak pulang ke Gerik. Nampak lelaki itu menahan kereta namun tidak tahu apa isunya.

Iklan

"Jadi saya dan dua rakan meneruskan perjalanan berhenti di hadapannya untuk bertanyakan apa yang berlaku. Kisahnya, dia mahu menumpang kereta untuk pulang ke Kampung Kota Tampan selepas motosikalnya rosak," ujarnya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Peniaga bengkel cat kereta berpengalaman 10 tahun ini bagaimanapun terus bersetuju dan menumpang lelaki berkenaan hingga ke Kota Tampan Lenggong Perak.

Iklan
Mohd Azam menumpangkan lelaki itu sehingga ke Kota Tampan Lenggong Perak. - Foto Mohd Azam

"Lelaki itu memberitahu dia tidak mempunyai wang untuk membaiki motosikal, malah tiket bas tiada dan jalan terakhir adalah terpaksa menumpang kenderaan orang lain untuk pulang ke rumah.

"Pada awalnya agak sangsi juga, tetapi saya ikut gerak hati dan ikhlas membantunya kerana ALLAH. Kalau perbuatan saya ini diberi pahala, saya sedekahkan kepada kedua orang tua saya," katanya.

Tambah Mohd Azam, Islam juga mendidik untuk setiap umatnya melakukan kebaikan kepada semua manusia termasuk juga haiwan.

"Kalau difikirkan apa yang saya lakukan adalah perkara positif membantu sesama manusia. Tak salah kalau saya bantu bangsa Cina, India sekali pun, andai mereka dalam kesusahan dan insya-ALLAH saya akan berusaha membantu," katanya.

Pada Rabu, status Mohd Azam tular di laman sosial setelah memuat naik status di Facebook iaitu,"Dalam perjalanan balik dari Ipoh ke Gerik.. Ada jumpa satu orang India jalan kaki, kami berhenti tanya... Apa pasal awak jalan kaki pakai helmet. Dia cakap motor rosak, abang hantar bengkel saya mahu balik bas takde. Tahan orang satu orang pun tak ada berenti mahu beri tumpang... kita pun goyang juga nak bawa... tapi beranikan diri... Saya dan kawan cuba bantu... Semoga mudah urusan bro macca".

Perkongsian itu menarik perhatian warganet kerana boleh dijadikan contoh dan inspirasi kepada umum untuk memupuk perpaduan dalam konteks masyarakat majmuk dan jalin hubungan harmoni antara berbeza agama.