KUALA LUMPUR - Seorang penghantar makanan maut apabila dihempap dahan pokok ketika sedang menunggang motosikal di Jalan Damai Jasa di sini pada petang Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, mangsa, Syed Izzat Izzudin, 20, menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135CC menghala ke Len Seng di sini.
"Tiba-tiba sebatang dahan pokok di tepi jalan telah terjatuh di atas badan mangsa. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan," katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.
Zulkefly berkata, kejadian berlaku ketika hujan lebat.
"Pihak Bomba dan Penyelamat tiba di lokasi kejadian dan memotong dahan tersebut untuk mengeluarkan mangsa.
"Mangsa dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) di sini dan bedah siasat akan dijalankan esok pagi (Jumaat)," katanya.
Terdahulu tular video dan gambar mangsa dibawa oleh orang ramai dalam keadaan hujan lebat ke arah sebuah stesen minyak Petronas.