BANTING - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan RM6.3 juta kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bagi tujuan pembangunan infrastruktur dan pelancongan di Kuala Langat.
Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, sebanyak RM300,000 diperuntukkan untuk membaiki tangki air, pendawaian elektrik dan pagar tangga di Pangsapuri Taman Langat Utama.
Menurutnya, sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk menambah kemudahan di Banting Waterfront yang berpotensi menjadi tarikan pelancong dan RM5 juta untuk pembangunan membabitkan pelancongan dan ekonomi.
Zuraida ketika sidang akhbar di sini berkata, Kuala Langat berpotensi untuk dibangunkan sebagai sebuah bandaraya termaju di Selangor pada masa hadapan.
"Kuala Langat menjadi satu tempat tumpuan pelabur dan pembangunan di kawasan ini dijangka lebih pesat berbanding lokasi lain di Selangor.
"Pendapatan di Kuala Langat sudah mampu menjadikan MPKL sebagai bandar raya kerana mereka berjaya mengumpul sebanyak RM1.35 juta pada 2020 dengan populasi penduduk melebihi 500,000 orang.
"Kami berharap MPKL dapat memanfaatkan peruntukan yang diberi,” katanya ketika lawatan di Pangsapuri Taman Langat Utama di sini pada Khamis.
Sementara itu, Zuraida memberitahu, menerusi laporan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, MPKL berjaya mencatatkan pelaburan tertinggi di Malaysia pada tahun lalu dalam industri kertas sebanyak RM5.7 bilion.
Ujarnya, walaupun pelaburan tersebut dijangka membawa teknologi canggih dan progresif, MPKL perlu menambahbaik sistem sedia ada supaya ia dapat menyokong kemasukan sistem baharu bagi tujuan pembangunan yang bakal terjadi di Kuala Langat.