PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada Rabu lalu mengumumkan negaranya akan menamatkan peperangan di Afghanistan menjelang 11 September tahun ini selepas menceroboh negara tersebut pada 2001 yang dianggap sebagai tempat perlindungan anggota-anggota kumpulan pengganas.
AS bertindak menceroboh negara tersebut pada 7 Oktober 2001 selepas berlakunya serangan pengganas di New York dan Washington D.C pada 11 September 2001 yang dipercayai dilakukan oleh 19 anggota bersekutu dengan kumpulan Al-Qaeda.
Dalam serangan itu, hampir 3,000 orang terbunuh dan lebih 6,000 lagi cedera di New York setelah dua bangunan berkembar World Trade Center (WTC) runtuh dirempuh oleh dua pesawat yang dipercayai dirampas oleh anggota-anggota bersekutu kumpulan Al-Qaeda.
Seramai 64 orang di dalam sebuah pesawat komersial turut terbunuh selepas ia dirampas oleh para pengganas dan terhempas serta memusnahkan sebahagian Ibu Pejabat Jabatan Pertahanan AS atau lebih dikenali sebagai Pentagon di Washington D. C sehingga menyebabkan 125 orang lagi maut ketika mangsa-mangsa itu berada di dalam bangunan berkenaan.
Pada waktu itu, Presiden AS ke-43, George W Bush daripada parti Republikan mahu Ketua Rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden yang dipercayai bersembunyi di sempadan Afghanistan-Pakistan ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.
Namun, akhirnya Osama mati dibunuh oleh anggota-anggota tentera Amerika di Abbottabad, Pakistan pada tahun 2011 ketika negara berkenaan ditadbir oleh Presiden ke-44, Barack Obama daripada parti Demokrat manakala Biden ketika itu memegang jawatan Naib Presiden.
Kini selepas hampir 2,400 anggota tentera AS dan puluhan ribu penduduk Afghanistan terbunuh akibat perang AS yang mahu menghapuskan kumpulan Al-Qaeda serta menyingkirkan pergerakan Taliban daripada berkuasa di Kabul, Biden akhirnya mengumumkan 11 September sebagai tarikh akhir askar-askar negaranya berundur dari Afghanistan.
Sebelum ini, portal berita CNBC mengumumkan pentadbiran Presiden ke-45 AS, Donald Trump mengumumkan 1 Mei tahun ini sebagai tarikh pengunduran semua askar yang ditempatkan di negara tersebut.
Ketika ini lebih 2,000 askar AS ditempatkan di negara itu manakala pada 11 September depan tiada lagi anggota tenteranya terlibat dalam perang paling panjang AS di Afghanistan.
Pada 11 September pula AS turut memperingati ulang tahun ke-20 serangan pengganas di Amerika.
Bagaimanapun, Biden yang merupakan anggota parti Demokrat pernah menyokong usul supaya AS menceroboh Iraq pada Mac 2003 ketika Bush menggunakan alasan bahawa Presiden Iraq ketika itu, Saddam Hussein mempunyai senjata pemusnah besar-besaran.
Akhirnya, perang di Iraq itu berakhir pada hujung tahun 2011 dan Biden akhirnya mengakui dalam satu temu bual pada Mac 2020 bahawa undian yang dibuatnya pada tahun 2002 itu bagi menyokong pencerobohan tersebut adalah satu kesilapan.
Ketika itu, Biden memegang jawatan Ketua Jawatankuasa Hubungan Luar Senat AS dan menurut portal berita New York Times, Biden merupakan salah seorang daripada 77 senator yang menyokong usul Bush menceroboh Iraq.
Namun, sehingga kini senjata pemusnah besar-besaran masih belum dijumpai di Iraq dan sokongannya ke atas perang Iraq juga dibangkitkan semasa kempennya bagi menjadi Presiden AS bagi mewakili parti Demokrat pada awal tahun 2020.
Presiden AS itu juga dilaporkan tidak mempunyai pendirian yang konsisten tentang penglibatan negaranya dalam peperangan yang berlaku di dunia kerana beliau pernah menentang usul supaya AS tidak menyertai Perang Teluk Pertama pada tahun 1990 yang menyebabkan Amerika berjaya mengusir tentera Iraq dari Kuwait.
Namun, pada tahun 1999, Biden turut menyokong usul di Dewan Senat bagi memberikan kuasa kepada Presiden AS ke-42, Bill Clinton memerintahkan tentera AS melaksanakan operasi udara
dan serangan peluru berpandu ke atas Republik Yugoslavia yang kini dikenali sebagai Serbia dan Montenegro.
Ketika Biden memegang jawatan Naib Presiden AS di bawah pemerintahan Obama, Amerika yang merupakan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) telah menyediakan sokongan udara ke atas Libya bagi membantu rakyatnya menyingkirkan pemimpin negara tersebut ketika itu, Muammar Gaddafi.
Obama ketika itu mendakwa Gaddafi melancarkan tindakan ketenteraan yang menyebabkan kematian orang awam dan memaksa sebahagian penduduknya melarikan diri ke negara-negara jiran sekali gus mencetuskan krisis kemanusiaan.
Menurut portal berita PolitiFact, tentera AS menghabiskan kira-kira AS$2 bilion (RM8.25 bilion) untuk menyokong kebangkitan rakyat Libya bagi menentang pemerintahan Gaddafi.
Kebangkitan rakyat yang merupakan sebahagian daripada Arab Spring itu akhirnya menyaksikan Gaddafi dibunuh oleh rakyatnya sendiri pada Oktober 2011 selepas beliau berjaya digulingkan pada Ogos tahun yang sama.
Pada tahun 2014, pentadbiran Obama turut melancarkan serangan udara ke atas kumpulan Daesh di Syria dan menempatkan tentera di negara tersebut bagi menentang kumpulan-kumpulan pengganas pada tahun 2015 yang mana ketika itu Biden memegang jawatan sebagai Naib Presiden AS.
Namun, pada bulan lalu, Presiden paling tua dalam sejarah AS itu berkata, Amerika menarik balik sokongan ke atas perang diketahui Arab Saudi bagi menentang kumpulan Houthi yang didakwa mendapat sokongan Iran di Yemen.
Naib Presiden Kanan Yayasan untuk Pembela Demokrasi, Jonathan Schanzer berkata kepada AFP bahawa Biden mahu menamatkan perang di Yemen tetapi beliau sebaliknya berpendapat konflik di negara berkenaan akan menjadi bertambah teruk berikutan keputusan AS tersebut.
Apa yang dilakukan oleh AS ketika ini ialah pendekatan ketenteraan tidak lagi menjadi pilihan negara itu, kata Schanzer. - Agensi