Jangan bagi muka kepada nelayan asing

Iklan

SABAN tahun kita disajikan dengan berita pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

Mengikut statistik, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) telah menahan lebih 1,000 bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara kerana menangkap ikan secara haram sejak 2006.

Iklan
Iklan

Pada tahun ini sahaja, Maritim telah menahan kira-kira 200 bot nelayan asing yang kebanyakannya berasal dari Vietnam.

Lebih membimbangkan, baru-baru ini kita turut dikejutkan dengan pendedahan dalam akhbar mengatakan bahawa RM4.25 bilion hasil laut negara dirompak nelayan asing.

Iklan

Jika dibiarkan, pencerobohan yang berterusan bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara, malah menggugat sektor perikanan pada masa akan datang.

Apa pun, isu ini amat dikesali kerana ia sudah lama berlaku dan masih gagal ditangani dengan berkesan sehingga ke hari ini.

Iklan

Kini, timbul lebih banyak persoalan berbanding jawapan mengenai kebanjiran nelayan asing termasuk dari Thailand dan Indonesia yang bermaharajalela di perairan negara kita.

Adakah kehadiran mereka dibantu oleh anggota penguatkuasa yang korup sehingga menggagalkan misi membendung pencerobohan di perairan negara?

Atau mungkinkah wujud dalang atau sindiket tertentu yang menyebabkan nelayan asing dapat mengakses perairan negara dengan mudah?

Peranan nelayan tempatan dalam isu ini juga tidak boleh dipadang sebelah mata kerana memang terdapat laporan mengenai nelayan tempatan terutamanya yang memiliki lesen C2 bersubahat dengan nelayan asing.

Justeru, isu pencerobohan nelayan asing di perairan negara perlu dipandang serius.

Pihak berwajib perlu bertindak tegas bagi mengekang kebanjiran nelayan asing yang mencuri hasil laut negara serta menangkap pengkhianat yang bersekongkol dengan mereka.

Penggubal undang-undang juga perlu bertindak menggariskan satu mekanisme berkesan untuk menangani masalah berkenaan.

Jika tidak, kita hanya mampu ternganga apabila perairan negara terus ‘diperkosa’ hingga anak cucu kita mungkin tidak lagi dapat mencari rezeki di lautan.