MERAK Jalanan setuju benar apabila Datuk Bandar, Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pegawai Penguat kuasa PBT Gred 19 ke atas, diberikan kuasa mengeluarkan kompaun bermula Rabu.
Bukannya apa, sepanjang dua hari tinjauan, memang berlaku ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di beberapa bazar Ramadan di seluruh negara.
Maklumlah tahun lepas tidak ada bazar Ramadan, jadi tahun ini ramai yang teruja untuk membeli juadah berbuka puasa.
Malangnya ramai yang mengabaikan SOP. Lebih parah lagi, ada yang masuk ke bazar Ramadan tanpa menggunakan laluan khas disediakan.
Soal imbas suhu dan daftar masuk aplikasi MySejahtera sudah tentu ‘ke laut’. Sama ada degil atau bimbang juadah berbuka habis, ketidakpatuhan SOP ini benar-benar mengecewakan.
Perkara ini perlu dipandang serius kerana Merak Jalanan bimbang wujud Kluster Bazar Ramadan!
Apabila Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PBT boleh mengambil tindakan secara terus ke atas ketidakpatuhan SOP serta kesalahan lain mengikut Akta 342, Merak Jalanan sangat-sangat bersetuju.
Merak Jalanan anggap langkah Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu untuk kebaikan semua pihak, apatah lagi semalam angka kes Covid-19 kembali naik kepada 2,148 kes.
Justeru itu, orang ramai diminta memberi kerjasama penuh kepada PBT dalam membantu negara melandaikan lengkuk penularan wabak Covid-19.
Bak kata pepatah, lebih baik mencegah daripada mengubati!
Apa pun, semoga ibadah puasa tahun ini dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan sempurna.