KOTA BHARU - Polis Kelantan meminta orang ramai menggunakan surat kebenaran rentas negeri atau daerah yang baharu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya mendapati masih ada sebahagian kecil masyarakat yang masih belum mendapat surat kebenaran baharu.
"Ada di antara mereka tinggal di Tumpat, tapi kerja di Kota Bharu. Semalam pun masih ada yang guna surat kebenaran perjalanan yang lama. Kami nasihatkan mereka dapatkan surat baharu.
"Kita tidak teragak-agak untuk mengenakan sebarang tindakan dan kompaun jika mereka berdegil dengan membuat pemalsuan dokumen perjalanan tersebut," katanya ketika lawatan ke lokasi sekatan jalan raya (SJR) di Jambatan Sultan Yahya Petra di sini.
Beliau turut meluangkan masa bersahur bersama petugas-petugas barisan hadapan di SJR itu, selain turut memberikan kurma kepada mereka yang bertugas.
Dalam pada itu Shafien berkata, jumlah kemasukan kenderaan ke Kelantan meningkat sehingga 15 peratus sejak minggu lalu iaitu menjelang Ramadan.
Shafien berkata, melalui pemerhatian mereka, tidak dinafikan kebanyakan jalan-jalan utama di negeri berkenaan agak sesak dari biasa.
"Kita percaya rakyat Kelantan yang berada di luar ambil kesempatan balik ke Kelantan terutama menjelang Ramadan dan saya juga dapat beberapa panggilan mengatakan kadar kesesakan jalan raya agak teruk.
"Hasil pemeriksaan di beberapa lokasi di sempadan pada waktu itu, yang masuk ke negeri ini semuanya mempunyai surat kebenaran rentas negeri," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, apa yang menggusarkan ketika ini ialah budaya makan colek di Kelantan.
"Semalam saya ada buat tinjauan di beberapa tempat dan memang mengejutkan, saya harap semua akan patuh SOP selepas ini," katanya.