PENGENDALI Villarreal, Unai Emery menegaskan misi memburu kejuaraan pertama The Yellow Submarine di pentas Eropah lebih penting berbanding mengimbau kenangan bersama Arsenal sebelum ini.
Bekas pengurus The Gunners itu akan mengemudi barisan kelab La Liga tersebut menentang anak buah Mikel Arteta selepas menewaskan gergasi Croatia, Dinamo Zagreb 3-1 secara agregat pada suku akhir kedua Liga Europa.
Ini merupakan kali keempat Villarreal mara ke separuh akhir pertandingan Eropah, namun gagal untuk pergi lebih jauh setiap peringkat tersebut.
Emery adalah individu yang menggantikan Arsene Wenger di London utara setelah pengurus dari Perancis itu mengakhiri musim cemerlang di Emirates pada 2018.
Untuk rekod, Emery berjaya membawa Arsenal ke final Liga Europa pada musim pertamanya bersama Gunners, sebelum dipecat 18 bulan kemudian berikutan prestasi tidak menentu kelab pada saingan liga.
Pertemuannya dengan Arsenal dijangka mendominasi saingan separuh akhir minggu depan, tetapi pengurus kelahiran Sepanyol itu menegaskan fokusnya hanya untuk mengakhiri kemarau kelab tersebut sebelum ini seterusnya meraih slot Liga Juara-Juara musim depan.
"Kejayaan di pentas Eropah merupakan sasaran utama kelab semasa mula saya menandatangani kontrak bersama Villarreal.
"Jadi masa lalu saya di Arsenal sebelum ini sudah tidak begitu penting," kata Emery.
Mengenai cabaran yang bakal dihadapi daripada barisan anak buah Arteta, Emery berkata:"Villarreal ingin terus bermain dengan cara kami, selalu menghormati saingan kami dan tidak berspekulasi dalam segala hal.
"Kami perlu bermain untuk menang dan beraksi dengan kesungguhan tinggi seperti ditunjukkan pada masa ini. Main dengan cara yang sama dan jangan sesekali beri Arsenal peluang," katanya.
Villareal akan melayan kunjungan Arsenal di El Madrigal untuk perlawanan pertama pada 29 April sebelum bertandang ke Emirates.