Warga emas, kanak-kanak dilarang masuk bazar

Iklan
Warga emas dan kanak-kanak tidak dibenarkan memasuki mana-mana bazar di sekitar daerah Kuantan. (Gambar kecil: Hamdan)

KUANTAN - Warga emas dan kanak-kanak di larang mengunjungi kawasan tumpuan seperti bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di sekitar daerah Kuantan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Datuk Hamdan Hussin berkata, larangan tersebut dilaksanakan susulan terdapat peningkatan kes jangkitan Covid-19 di daerah ini.

Iklan
Iklan

Justeru, menurutnya penganjur bazar diminta memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) di setiap tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri dengan memastikan tiada pelanggaran SOP berlaku.

"Bukan sahaja penganjur bazar, tetapi semua pihak termasuk peniaga dan pengunjung diminta mematuhi peraturan serta syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh MBK terutama ketika mengunjungi bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa.

Iklan

"Kalau kita dapati ada pelanggaran, maka tindakan kompaun dan membatalkan kebenaran untuk berniaga diambil serta-merta. Kita amat bertegas dalam perkara ini" katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Lawatan Kebersihan Jalan Pantai dan Pesisiran Pantai di Pantai Sepat pada Jumaat.

Iklan

Hadir sama Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Abd Rahim Muda dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Sharudin Hamid.

Dalam pada itu, Hamdan berkata, penggunaan sistem bernombor turut digunakan bagi mengawal jumlah pengunjung ke bazar Ramadan dalam satu-satu masa.

Tegasnya, kaedah ini bagi memastikan pengunjung tidak terlalu sesak ketika memasuki bazar Ramadan sehingga mengundang jangkitan Covid-19.

"Pengunjung diminta supaya beratur untuk menunggu giliran memasuki bazar Ramadan dan perlu menjaga jarak fizikal demi keselamatan masing-masing," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan sentiasa membuat pengumuman, mengadakan rondaan dan pemantauan dari udara menggunakan ‘drone’ bagi memberi peringatan kepada semua pengunjung terhadap SOP dan penjarakan sosial.