KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) merekodkan bayaran saman berjumlah RM89 juta menerusi aplikasi MyBayar Saman sejak dilancarkan pada 25 Mac lalu.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, nilai itu membabitkan 803,739 saman yang dikeluarkan.
Menurutnya, sejak aplikasi ini dilancarkan dengan tawaran diskaun 50 peratus, seramai 814,622 pengguna berdaftar di aplikasi berkenaan.
"Selain itu, sebanyak 6,083 aduan emel terkumpul sepanjang tempoh terbabit.
"Untuk hari terakhir tawaran itu pada semalam (Khamis), sebanyak 38,306 saman dijelaskan dengan jumlah RM4.2 juta," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, sambutan terhadap aplikasi yang dibangunkan sendiri oleh JSPT sebagai satu platform tunggal e-bayaran itu amat menggalakkan sebagai satu platform tunggal e-payment yang baru diperkenalkan.
Katanya, JSPT telah mengenal pasti beberapa aspek yang boleh ditambah baik untuk meningkatkan lagi kutipan seperti pendaftaran syarikat, warga asing, had bayaran individu dan lain-lain.
ARTIKEL BERKAITAN: Diskaun 50 peratus saman sempena Hari Polis
Pada 25 Mac lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tawaran sempena sambutan Hari Polis ke-214 itu akan bermula pada 25 Mac hingga 11 April.
Menurutnya, semua jenis kompaun saman akan diberikan diskaun 50 peratus sehingga 11 April ini kecuali enam kesalahan utama iaitu memotong garis kembar, memandu di lorong kecemasan, memandu melebihi had laju yang ditetapkan di lebuh raya, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak berhenti di lampu isyarat.