SWCorp susun semula jadual kutipan sampah

Iklan
Abd Rahim (kiri) ketika mengadakan Kebersihan Jalan Pantai dan Persisiran Pantai di Pantai Sepat, pada Jumaat.

KUANTAN - Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Pahang sudah diarahkan supaya menyusun semula jadual kutipan sisa pepejal domestik sekitar Kuantan susulan semua warga kerja Syarikat Konsesi, Alam Flora Sdn Bhd sedang menjalani tempoh kuarantin.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda berkata, penyusunan itu bagi membolehkan pekerja dari daerah lain digerakkan bagi menguruskan sisa pepejal domestik dikutip, sekali gus menyelesaikan isu lambak sampah.

Iklan
Iklan

"Sehari dua ini kutipan sisa pepejal domestik memang akan terganggu, tetapi kita yakin dalam waktu terdekat perkara itu dapat diatasi.

"Setakat ini pekerja yang digerakkan dari daerah lain sudah menjalankan kutipan bukan sahaja waktu siang tetapi malam," katanya dalam sidang akhbar ketika Lawatan Kebersihan Jalan Pantai dan Pesisiran Pantai di Pantai Sepat, pada Jumaat.

Iklan

Hadir sama ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Datuk Hamdan Hussin dan Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid.

Pada Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan 558 kakitangan Alam Flora terpaksa menjalankan kuarantin dua minggu selepas lapan pekerja itu disahkan positif Covid-19.

Iklan

Abd Rahim turut mengingatkan penduduk Kuantan supaya menjaga kebersihan di kediaman mahu pun di tempat awam terutama lokasi pelancongan seperti di Pantai Sepat.

Katanya,semua pihak perlu bekerjasama dalam memastikan tahap kebersihan di tahap maksimum.

Sementara itu, Sharudin juga meminta orang ramai supaya memastikan plastik sampah diikat dengan betul dan kemas sebelum dibuang ke dalam tong sampah.

Tegasnya, ini bagi mengelak bau yang tidak menyenangkan.

"Kalau boleh penduduk diminta supaya ikat sisa sampah dengan betul. Jika ada sisa yang boleh dikitar semula, diminta asingkan," katanya.