PASIR GUDANG - Peningkatan kes Covid-19 di negara ini didakwa berpunca daripada kapitalis yang mengejar keuntungan sehingga mengabaikan aspek kesihatan dan kebajikan tempat tinggal ribuan pekerja mereka.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mendakwa, dianggarkan 83 peratus kes Covid-19 di negara ini berpunca daripada sektor pembuatan khususnya kilang.
Menurut beliau, tempat tinggal pekerja yang memaksa mereka bersempit dan bersesak menyebabkan jangkitan Covid-19.
"Semalam (Khamis) Malaysia merekodkan 2,148 kes positif baharu Covid-19, iaitu tertinggi sejak 40 hari lalu.
"Adakah peningkatan ini disebabkan ada selebriti terkenal merentasi negeri untuk berbulan madu di Langkawi, jawapannya sama sekali tidak.
"Sebaliknya Malaysia membenarkan bermaharajalela kapitalis yang tamak mengejar keuntungan sehingga tidak peduli hal kesihatan dan kebajikan tempat tinggal ribuan pekerja mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Pada Khamis Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan 2,148 kes positif Covid-19 baharu di Malaysia.
Hassan berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN), kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terlepas pandang, cuai atau tidak peduli pelaksanaan dan penguatkuasaan Akta undang-undang yang bernama Housing and Amenities Act 2019 atau akta seumpamanya.
"Semua menteri dan timbalan menteri daripada Kementerian Sumber Manusia melibatkan ketiga-tiga kerajaan yang disebutkan di atas perlu bertanggungjawab," katanya.
Katanya, akta tersebut yang dikenali sebagai Akta 446 berkaitan dengan standard perumahan atau tempat tinggal pekerja tetapi ramai yang tidak peduli kepentingan akta tersebut sama ada kerajaan dan pemain industri.
Katanya, sektor pembuatan seperti kilang sarung tangan getah menggunakan tenaga buruh asing yang ramai.
"Syarikat-syarikat ini dalam tempoh pandemik Covid-19 mengaut untung berbilion ringgit tetapi pekerja bersempit dalam asrama yang seperti kandang kambing keadaannya.
"Penat sahaja Parlimen menggubal undang-undang tetapi kegagalan kerajaan menguatkuasakan menjadikan undang-undang yang ada itu sia-sia sahaja," ujarnya.