KUALA LUMPUR - Impian lebih 400 warga Pakistan bekerja di negara ini musnah selepas mereka ditipu oleh sindiket dipercayai kononnya mempunyai 'kabel' dengan agensi penguat kuasa.
Difahamkan kesemua mereka menjadi mangsa dengan kerugian mencecah lebih RM2 juta selepas terpedaya membayar RM4,800 seorang kepada sindiket terbabit bagi memperoleh levi pekerja asing negara ini.
Seorang mangsa yang ditemui, Pir Humayun Said, 40, berkata, individu berkenaan sebelum ini telah meminta bantuannya mengumpul seberapa ramai pekerja dari Pakistan untuk bekerja di sebuah kilang miliknya.
"Lelaki berusia 40-an itu merupakan warga Pakistan yang telah berkahwin dengan wanita Malaysia," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Humayun berkata, lelaki berkenaan turut berjanji akan memberikan gaji lumayan kepada rakan serta kenalan yang bekerja di syarikat miliknya.
"Atas dasar ingin membantu kenalan serta keluarga di Pakistan, saya menyerahkan kesemua wang kepada lelaki terbabit menerusi transaksi bank.
Katanya, setelah bayaran dibuat, segala butiran seperti 'calling' visa yang sebelum ini wujud dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia tiba-tiba hilang.
"Hasil semakan yang saya lakukan mendapati kuota atau visa yang ditunjukkan individu tersebut adalah palsu.
"Setelah mengetahui perkara tersebut, saya dan beberapa rakan cuba mendapatkan penjelasan daripada individu berkenaan tetapi dia cuba mengelak dan mengabaikan panggilan telefon dan mesej yang dihantar," katanya.
Menurutnya, sebanyak lapan laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda Kebangsaan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (Irrim) Mohd Kassim Alla Pitchay berharap polis dapat menjalankan siasatan berhubung perkara ini.
"Ini melibatkan jumlah yang besar yang melibatkan ramai mangsa dan kerugian mencecah angka jutaan ringgit.
"Saya juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berharap mangsa dapat pembelaan dan keadilan yang sewajarnya," katanya.