KUALA LUMPUR - Dua beranak masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah mencederakan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang merupakan saudara mereka, gara-gara perselisihan faham antara keluarga.
Majistret, Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas S.G.Saroja, 53, serta anak perempuannya C. Sathiyawathy, 31, dan memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan, jika gagal membayar denda.
Saroja merupakan ibu saudara kepada mangsa manakala Sathiyawathy adalah sepupu kepada remaja perempuan itu.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap remaja perempuan itu di kawasan lapang berhampiran Bulatan Beringin Selayang di sini pada 11 malam, 1 Mac lepas.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh mengambil kira kecederaan yang dialami mangsa di bahagian bahu kirinya akibat dipukul.
Peguam M. Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili dua beranak itu memohon hukuman ringan kerana kejadian berlaku akibat salah faham dengan mangsa dan kedua-dua anak guamnya adalah ibu tunggal selain mereka turut menyesal atas perbuatan yang dilakukan. - Bernama