PETALING Jaya (PJ) City FC mengambil satu lagi inisiatif untuk memupuk bakat pemain tempatan menerusi program Jaguh RF selepas mengambil langkah berani menurunkan 100 peratus pemain tempatan dalam mengharungi Liga Super musim ini.
Presiden PJ City FC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, menerusi kerjasama dengan Rhythm Foundation, MySkills Foundation dan MyPJ (kumpulan komuniti berpangkalan di sini), kelab itu akan dapat mencari remaja berusia antara 13 hingga 14 tahun daripada keluarga berpendapatan rendah untuk digilap bakat mereka supaya cemerlang dalam sukan ini.
"Bola sepak bukan hanya kemahiran tetapi termasuk bimbingan dan memupuk remaja ini menjadi insan yang lebih baik,” katanya selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Rhythm Foundation, MySkills Foundation dan MyPJ di sini pada Khamis.
Sementara itu, legenda bola sepak negara Datuk Santokh Singh yang juga hadir di majlis itu memberitahu inisiatif itu akan membantu remaja berkenaan meningkat secara berperingkat dalam kehidupan dan menjadi lebih berjaya kerana bola sepak memerlukan disiplin.
Bekas pemain pertahanan negara itu juga berkata, beliau sanggup membimbing remaja berkenaan di bawah program itu jika khidmatnya diperlukan.
Damal pada itu, Pengerusi Rhythm Foundation, Datin Sri E Umayal berkata, program tiga tahun Jaguh RF itu akan bermula dari bulan ini dengan pencarian 40 remaja lelaki daripada keluarga B40 di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.Katanya, pengubahsuaian akan dilakukan sepanjang proses pelaksanaan program ini memandangkan ia merupakan inisiatif sulung. - Bernama