BANGKOK - Seorang lelaki maut dipijak seekor gajah dalam kejadian di bandar timur laut Nakhon Ratchasima sementara dalam satu lagi insiden berasingan tiga ekor gajah mati apabila ribut melanda daerah Mae Wang di wilayah utara Chiang Mai, Thailand.
Dalam kejadian pertama, lelaki tempatan berusia 55 tahun itu dilaporkan sedang memberi gajah itu makan di sebuah pusat peranginan di Jalan Thanarat di daerah Pak Chong di Nakhon Ratchasima pada Khamis.
Media tempatan melaporkan lelaki yang bertugas sebagai pegawai teknikal sanitasi di Majlis Perbandaran Nakhon Ratchasima sedang bercuti bersama ahli keluarganya.
Mangsa mengalami patah tulang dan ditemui maut berdekatan gajah betina berusia 28 tahun yang dikenali sebagai 'Cherry'.
"Polis percaya lelaki yang memandu kenderaan pacuan empat roda berhenti seketika untuk memberi tebu kepada gajah yang diikat pada sebatang pohon di tepi jalan. Kami percaya gajah itu menyerangnya ketika mangsa menghampiri haiwan berkenaan,” lapor Bangkok Post.
Menurut penggembala, Peng Yimran, gajah betina itu dibawa ke resort untuk aktiviti pelancongan.
Pengembala mendakwa gajah itu sudah banyak kali dibawa ke resort itu dan tidak pernah bertindak agresif sebelum ini.
Dalam satu lagi kejadian, tiga gajah mati dihempap pokok besar ketika ribut melanda daerah Mae Wang di wilayah utara Chiang Mai.
Menurut laman Facebook Thai Elephant Alliance, ribut menyebabkan sebatang pokok setinggi 50 meter tumbang dan menghempap tempat perlindungan haiwan berkenaan.
Ketika kejadian terdapat enam ekor gajah di tempat perlindungan itu.
"Tiga lagi gajah yang cedera kini dirawat,” katanya. - Bernama