Pelakon veteran Abu Bakar Omar selamat dikebumikan

Iklan
Kira-kira 300 jemaah yang terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara, peminat dan penduduk sekitar hadir solat jenazah sebelum solat Asar pada Jumaat.

ALOR SETAR - Jenazah pelakon veteran kelahiran Kedah, Allahyarham Abu Bakar Omar, 72 selamat dikebumikan pada jam 5.40 petang di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru Jalan Pegawai di sini pada Jumaat.

Jenazah disembahyangkan pada jam 4.30 petang di Masjid Al Ghufran dengan dihadiri kira-kira 300 jemaah yang terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara, peminat dan penduduk sekitar sebelum solat Asar.

Iklan
Iklan

Anak ketiga arwah, Afandi, 43, berkata pemergian bapanya secara tiba-tiba itu begitu dirasai oleh ahli keluarga memandangkan Allahyarham tidak pernah menunjukkan tanda-tanda sakit kronik kecuali mengadu rasa letih sejak Rabu.

"Arwah bapa pergi dengan tenang sekali dan Alhamdulillah semua anak dan cucunya sempat balik untuk melihatnya.

Iklan

"Semasa hayat, arwah bapa selalu menasihati kami adik-beradik agar tidak membuat zalim kepada orang lain selain sentiasa menyayangi orang tua," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru Jalan Pegawai, Alor Setar.

Menurut Afandi, arwah bapanya selalu menyebut pepatah 'menang tak sentiasa tenang, mengalah tak sentiasa kalah' dan selalu dipesan kepada anak cucunya.

Iklan

Dalam pada itu, dia berkata, arwah juga sudah tidak aktif berlakon lebih lima tahun kerana lebih memberi ruang kepada dirinya selain tidak mahu menyusahkan orang lain.

Jenazah Allahyarham selesai dikebumikan pada jam 5.40 petang di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru Jalan Pegawai di sini pada Jumaat.

"Ada pihak yang masih tawarkannya untuk berlakon namun ditolak dengan baik. Arwah sudah biasa dengan rutin setiap pagi selepas solat subuh dia akan membaca al-Quran dan tidur sebentar sebelum melakukan rutin harian lain,"katanya lagi.

Sementara itu, sahabat baik Allahyarham, Harun Hassan, 62 menganggap Abu Bakar seorang yang sentiasa merendahkan diri dan suka membantu orang lain.

Menurutnya, dia selalu dipelawa tidur di rumah arwah setiap kali ke Kuala Lumpur jika mempunyai urusan di sana.

"Setiap kali ke Kuala Lumpur, dia selalu belanja saya dan tidak pernah mengeluarkan duit poket sendiri apabila berada di sana. Dia dah macam abang saya sendiri, susah nak cari kawan baik sepertinya,"ujarnya.

Pagi Jumaat media melaporkan Abu Bakar menghembuskan nafas terakhir dipercayai akibat masalah jantung dan hati di Kedah Medical Centre (KMC) di sini kira-kira jam 9.04 pagi.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Faridah Manaf, 66, empat anak dan 15 cucu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon Abu Bakar Omar meninggal dunia