SHAH ALAM - Mana-mana pihak beragama Islam yang didapati terlibat dalam produksi penerbitan video iklan raya dipercayai mempromosi kegiatan judi dalam talian bakal berdepan tindakan undang-undang atas kesalahan menggalakkan orang lain melakukan maksiat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pihak terlibat juga boleh didakwa kerana menyebabkan agama Islam dipandang hina.
"Tidak cukup dengan berita pengawal peribadi yang dipukul kerana berpuasa, kita dikejutkan pula dengan penerbitan video iklan raya yang dipercayai mempromosi kegiatan judi dalam talian pada bulan Ramadan.
"Perbuatan itu sangat biadab dan tidak akan dibiarkan sama sekali.
"Sekiranya ada pihak beragama Islam yang terlibat dalam produksi pengiklanan tersebut, tindakan juga boleh diambil di bawah akta atau enakmen negeri-negeri di bawah kesalahan mendorong atau menggalakkan orang lain melakukan maksiat,” katanya di Facebook pada Jumaat.
Tegas Ahmad Marzuk, mereka yang mahu mengekang perbuatan biadab itu disaran membuat laporan dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sebagaimana telah dilakukan kebanyakan badan bukan kerajaan (NGO).
Pada Khamis tular satu klip video iklan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri oleh sebuah syarikat perjudian yang mengajak umat Islam berjudi pada bulan Ramadan yang tular di saluran media sosial berkenaan.
Malah iklan berdurasi dua minit, satu saat itu turut menggunakan khidmat beberapa pelakon dipercayai Muslim tampil dengan imej bertudung menerusi iklan mereka.
Iklan ini bukan sahaja mengejutkan banyak pihak bahkan mengundang pelbagai kecaman.
ARTIKEL BERKAITAN: PDRM siasat penerbit, pelakon iklan raya promosi judi online
Sementara itu, pakar kriminologi Universiti Sains Malaysia, Dr Geshina Ayu Mat Saat berkata, judi juga menjadi alternatif kepada segelintir masyarakat untuk menggandakan wang sebagai modal untuk berhari raya mewah."Tidak dinafikan, musim perayaan akan menyebabkan ramai orang memerlukan wang yang banyak untuk membeli-belah."Fenomena itu biasa menjelang perayaan bukan Islam dan biasanya bukan dalam bahasa Melayu,” katanya.
Jelasnya, klip video mempromosikan judi pada musim perayaan khususnya Aidilfitri mencerminkan pancingan pelanggan daripada pihak penaja."Ia gambaran pemikiran cetek yang tidak sensitif atau tidak endah kepada kehidupan pelbagai etnik khususnya orang Melayu beragama Islam di Malaysia.
"Apatah lagi klip video itu dilakonkan individu Islam yang sewajarnya tahu hukum judi dan aktiviti berkaitan,” katanya.