BOLEH dikatakan masih ramai yang tidak memahami apa itu sindrom autisme. Apatah lagi, kanak-kanak yang menghadapinya kelihatan normal seperti kanak-kanak biasa.
Austime atau Autism Spectrum Disorder (ASD) merupakan gangguan perkembangan saraf. Ia mempengaruhi daya seseorang kanak-kanak dalam berkomunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku dengan yang lain.
Seorang daripada 160 kanak-kanak di dunia adalah kanak-kanak autistik. Setakat ini, seramai 595,000 individu OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan 28,941 orang daripadanya adalah individu autisme.
Perkataan autism berasal daripada perkataan Greek ‘autos’ iaitu ‘sendiri’. Kanak-kanak autisme dilihat berada dalam dunia mereka sendiri.ASD adalah satu penyakit genetik di mana kanak-kanak yang mengalami ASD mempunyai masalah dari segi sosial, komunikasi verbal dan masalah tingkah laku.
Kanak-kanak autistik boleh dikesan seawal umur dua tahun, namun kebanyakannya hanya dapat dikesan selepas mereka berusia empat tahun.
Kanak-kanak autistik tidak akan menunjukkan respons sewaktu berinteraksi dengan orang lain dan lebih gemar mengasingkan diri seolah-olah berada dalam dunianya sendiri.
Perkembangan bahasa kanak-kanak autisme berbeza untuk setiap individu. Mereka mengalami masalah perkembangan bahasa, tidak boleh bertutur dan hanya mengeluarkan bunyi.Ada pula yang boleh bertutur tetapi perkataan tidak mempunyai erti, makna dan sukar untuk difahami oleh orang lain.
Kanak-kanak autistik tidak tahu bagaimana untuk memulakan perbualan atau memberi respons kerana mereka tiada keupayaan untuk menumpukan perhatian secara langsung.
Boleh dikatakan kebanyakan kanak-kanak yang menghidap autisme lambat dikesan oleh keluarga terdekat iaitu ibu bapa atau penjaga. Jika anak-anak anda menunjukkan tanda-tanda sindrom autisme, maka segeralah dapatkan rawatan pakar untuk pemahaman dan pembelajaran.
Penemuan kajian baharu autisme dari lewat abad ke-20 sehingga kini membantu individu dengan spektrum ini bagi mencapai potensi diri sepenuhnya. Setakat yang diketahui, tiada ubat-ubatan khusus untuk kanak autisme.
Harus beringat jangan sesekali terpedaya dan percaya dengan iklan ubat yang mampu menyembuhkan atau merawat autisme yang dijual dengan banyak secara atas talian. Intervensi yang berterusan mampu membantu perkembangan kanak-kanak berspektrum autisme.
Begitupun penghargaan kepada ibu bapa yang membesarkan dan mendidik kanak-kanak istimewa, sama ada autisme, sindrom down, ADHD dan cerebral palsy. Anak-anak ini bakal menjadi laluan mudah bagi ibu bapanya ke syurga. Kebanyakan menggelarkan sebagai anak syurga.
Untuk anak-anak syurga ini, menjadi tanggungjawab bagi ibu bapa, guru dan orang sekelilingnya menerapkan nilai-nilai ahli syurga dalam diri mereka. Seumpama tingkah laku yang baik dan amalan wajib seperti solat dan puasa. Begitupun bergantung kepada kemampuan akal kanak-kanak autisme untuk menerima dan memahaminya.
Sebab ibadah solat dan puasa menetapkan berakal sebagai indikator penting kewajipannya terhadap seseorang individu muslim.
Kemampuan akal kanak-kanak autisme menerima dan memahami konsep ibadah solat dan puasa hendaklah dengan cuba mengenal dan melatih diri terlebih dahulu.
Serupa kemahiran mengurus diri, latihan ke tandas, kemahiran sosial dan komunikasi, jika dilatih dengan teknik yang betul, ia dilihat mampu menerapkan kemahiran ini dalam kehidupan seharian mereka.
Pada peringkat awal latihan tahap akal mereka mungkin tidak mampu untuk menerimanya dan demikian juga situasi untuk amalan ibadah solat dan puasa.
Pada peringkat awal pastinya sukar dan mencabar untuk menerapkan ibadah itu terhadap mereka. Tambahan pula puasa memerlukan mereka menahan lapar dan dahaga kerana sinonim dengan kanak-kanak autisme tidak tahan untuk menunggu tetapi kanak-kanak autisme mempunyai kelebihan menepati rutin dengan baik.
Perkembangan bahasa kanak-kanak autisme berbeza untuk setiap individu.
* Mohd Fudzail Mohd Nor ialah seorang OKU yang pernah menjadi CEO syarikat di Dubai dan Abu Dhabi serta pernah memenangi lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia