BELUM seminggu kita berpuasa dan timbul dua hal yang buat Awang pening kepala.
Pertama, kisah dua pengawal peribadi yang dipukul oleh majikan kerana mereka berpuasa. Yang kedua, video iklan sambutan hari raya yang ajak orang main judi.
Dalam kes yang pertama, bagaimanakah masih ada majikan bukan Islam yang tak sensitif terhadap pekerja mereka yang berpuasa? Takkanlah mereka tak tahu puasa itu amalan wajib walaupun bagi pengawal peribadi? Apakah alasannya majikan mengasari kedua-dua orang yang berpuasa itu?
Majikan seperti inilah yang mengeruhkan hubungan kaum di negara ini yang sememangnya dah keruh.
Jikalau majikan tak hormat keperluan orang Islam nak solat atau berpuasa, susahlah. Tapi pekerja Islam janganlah ambil kesempatan curi tulang atau tidur masa bekerja. Tunjukkan bahawa masa berpuasa pun mereka cergas dan kuat.
Dalam kes yang kedua, macam mana video iklan judi itu boleh terjadi? Lebih pelik lagi mereka yang terlibat anak-anak Melayu/Islam.
Takkanlah mereka tak tahu judi itu haram dan orang Islam tak boleh main judi atau buat promosi kegiatan judi. Apa sudah jadi pada soal nilai dan keimanan mereka?
Nak salahkan syarikat judi sahaja tak boleh juga. Anak-anak Melayu/Islam yang terbabit dalam produksi itu juga patut dipersalahkan. Kalau ada pihak yang meluluskan, mereka juga kenalah diambil tindakan sewajarnya.