KUALA LUMPUR - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sehingga kini telah meluluskan sebanyak 130 projek bernilai hampir RM24 juta di bawah Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang memperuntukkan dana keseluruhan RM1 bilion.
Pengarah Jabatan Pembangunan Pertanian dan Ternakan Felda, Hasrin Ismail berkata, projek itu meliputi pelbagai tanaman kontan dan bidang ternakan membabitkan 11 Wilayah Felda dari Wilayah Sabah hingga ke Johor.
"Jumlah peneroka yang terlibat dalam PPP ini secara keseluruhannya hampir 24,000 orang.
"Antara wilayah yang aktif dari segi penyertaan adalah Wilayah Terengganu yang merangkumi pelbagai projek dan antara yang utama melalui projek ternakan kambing tenusu iaitu satu bidang yang baharu kita teroka di peringkat PPP,” katanya pada wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di Menara Felda di sini pada Khamis.
Hasrin berkata, projek ternakan kambing tenusu itu cetusan Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh yang mahukan Felda terlibat secara terus dalam pengeluaran susu kambing di negara ini.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan projek di bawah PPP terbahagi kepada tiga konsep iaitu projek peneroka, projek komersial rintis dan model baharu bersama Agrobank.
Katanya, menerusi projek peneroka, pembaharuan dilakukan bermula 1 April lalu apabila Felda menetapkan projek berdaya maju yang boleh dijalankan peneroka melalui pakej yang disediakan.
"Melalui pembaharuan yang kita buat, kita tidak lagi fokus pada geran RM2,000 sebaliknya menyasarkan setiap projek yang dibuat itu mampu memberi pulangan pendapatan kepada peneroka sekurang-kurangnya RM500 sebulan. Nilai geran yang diberi pula bergantung pada projek yang mahu dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu, Hasrin turut memaklumkan konsep pelaksanaan projek peneroka itu terbahagi kepada dua kategori iaitu plasma melibatkan peneroka secara individu dan badan atau koperasi yang menumpukan projek bernilai tinggi atau berskala besar yang dicadangkan pihaknya dengan geran lebih RM100,000 bagi setiap permohonan.
Katanya, menerusi konsep projek peneroka, kategori badan atau koperasi, Felda menyasarkan ia akan memberi pendapatan kepada peneroka dalam bentuk pulangan dividen tahunan sebanyak RM1,000.
Sementara itu, beliau berkata, konsep projek komersial rintis pula sudah dimulakan di Felda Bukit Rokan, Negeri Sembilan dan pihaknya menyasarkan setiap wilayah akan menjalankan sekurang-kurangnya satu projek komersial rintis berkenaan.
"Dalam konsep komersial rintis kita jemput pelabur-pelabur luar masuk ke dalam rancangan kita untuk melabur dan pada masa sama mereka dapat membangunkan peneroka kita dan berkongsi kepakaran,” katanya.
Susulan itu, katanya, sebanyak lima projek komersial rintis lagi akan dibuka Felda tahun ini antaranya di Wilayah Johor Bahru iaitu di Felda Pasak, Wilayah Segamat (Felda Ayer Hitam), Wilayah Trolak (Felda Besout), Wilayah Jengka (Felda Ulu Jempol) dan Wilayah Sahabat.
Projek besar
Menurut Hasrin, projek model baharu PPP bersama dengan Agrobank pula bersaiz lebih besar berbanding projek peneroka.
"Sebelum ini bagi projek dengan peneroka nilainya mungkin sekitar RM10,000 bagi plasma tetapi bagi kategori plasma di bawah usahasama dengan AgroBank ini, nilai projek yang ditawarkan menjangkau RM20,000 hingga RM25,000.
"Apabila nilai projek besar, sudah tentulah ia akan menjanjikan pulangan pendapatan yang lebih besar kepada peneroka dan kita sasarkan untuk projek Agrobank ini setiap peneroka akan dapat pulangan pendapatan secara bulanan RM1,000,” katanya.
Hasrin berkata, projek ini juga merangkumi dua kategori iaitu plasma dan badan atau koperasi.
Ujarnya, untuk projek berkenaan, Felda telah mengenal pasti tiga jenis tanaman yang akan diusahakan iaitu nanas MD2, cili fertigasi dan halia muda.
"Berbeza dengan pelaksanaan konsep projek peneroka, program bersama Agrobank ini kita ada senarai operator yang akan bekerjasama dengan kita.
"Operator ini adalah pihak industri dari luar yang telah mahir atau diiktiraf dalam bidang mereka sendiri. Contohnya kalau nanas MD2 kita akan ada kerjasama dengan syarikat pengeluar nanas varieti itu yang terbaik iaitu Syarikat Aqina.
"Daripada inisiatif ini, Datuk Seri Idris menyasarkan sebanyak 100 koperasi dan 500 peserta Plasma akan menyertainya membabitkan nilai keseluruhan perjanjian RM100 juta,” katanya.
Usahawan jutawan
Dalam perkembangan sama, Hasrin berkata, Felda ketika ini juga telah meluluskan pelaksanaan projek ternakan ikan tilapia di beberapa wilayahnya dengan sasaran untuk melahirkan lebih ramai usahawan jutawan dalam kalangan warga peneroka Felda.
Katanya, mengorak langkah ke arah itu, projek penternakan ikan air tawar di Felda Tenggaroh 2 dijadikan sebagai antara model yang boleh diikuti oleh wilayah lain.
"Felda menyalurkan dana hampir RM500,000 untuk pelaksanaan projek ini yang akan dijalankan menerusi konsep koperasi. Projek ini yang turut dikendalikan bersama oleh generasi baharu Felda yang merupakan pemilik Tenggaroh Agroville.
"Selaku pengendali projek, syarikat ini diharap akan dapat menggerakkan projek baharu berkenaan dengan penglibatan peneroka dan membantu Felda berkaitan pemasaran dan pembelian ikan,” katanya.
Untuk projek ternakan tilapia di Felda Tenggaroh 2 itu yang baharu bemula Mac lalu, Felda menjangkakan setiap peneroka akan memperoleh pulangan dividen tahunan sekurang-kurangnya RM1,000 pada tahun ini.
Selain itu, Felda turut menyasarkan projek ternakan ikan tilapia Felda Tenggaroh 2 sebagai model yang boleh dikembangkan ke wilayah lain.
Menerusi usaha tersebut, peneroka akan mendapat manfaat pendapatan secara dividen tahunan.
Secara tidak langsung PPP membantu dalam usaha melahirkan usahawan jutawan dalam kalangan peneroka atau generasi baharu Felda.