LEICESTER City bertekad menempah tiket ke perlawanan akhir ketika membuat perhitungan dengan Southampton dalam aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley pada awal pagi Isnin.
Penyerang Leicester, Kelechi Iheanacho optimis pasukannya mampu melangkah ke perlawanan akhir sekiranya mampu mencari gol awal dan konsisten sepanjang 90 minit ketika berdepan Southampton itu.
Menurutnya, Leicester sedang berada pada tahap terbaik dan amat mengidamkan trofi Piala FA yang belum pernah dimenangi oleh pasukan The Foxes itu.
"Kami selalu mempunyai keinginan untuk memenangi piala, namun sudah tentu pasukan lain juga sudah bersiap sedia. Kami perlu mengorbankan banyak perkara dan memberikan yang terbaik.
"Itulah yang perlu kami lakukan. Dalam latihan dan permainan, kami perlu melakukan apa yang boleh dan bekerja lebih keras daripada apa yang kita lakukan. Saya rasa kami sudah bersedia untuk melakukannya.
"Mereka (Southampton) adalah pasukan yang kuat, mereka mempunyai pemain yang berkualiti dan mereka juga bermain sebagai satu pasukan. Kami perlu melakukan lebih banyak usaha daripada mereka, kami perlu melawan dan mencari gol terlebih dahulu pada babak pertama sehingga kami tidak ketinggalan," katanya.
Dalam pada itu, Iheanacho mengakui sedang meniti prestasi terbaiknya ketika ini, namun tidak mahu hilang fokus dengan tekad membawa Leicester mara ke perlawanan akhir Piala FA buat kali pertama sejak tahun 1969.
"Secara peribadi saya gembira dengan prestasi saya ketika ini, tetapi saya tidak mahu hilang fokus terhadap perlawanan. Selepas musim ini saya mungkin akan berfikir mengenai masa depan saya.
"Buat masa ini saya berada di tempat yang betul dan berusaha membantu pasukan. Saya perlu bekerja keras dan meneruskan persembahan terbaik ini sepanjang masa," katanya.