SAO PAOLO - Kerajaan Brazil mencadangkan golongan wanita di negara itu untuk menangguhkan kehamilan sehingga keadaan kembali terkawal susulan varian baharu Covid-19 dikatakan mempengaruhi ibu hamil lebih banyak daripada varian asal Covid-19.
Cadangan tersebut dikemukakan selepas Brazil terus menjadi salah satu pusat wabak global, dengan lebih banyak penduduknya meninggal setiap hari berbanding negara-negara lain.
Pegawai Kementerian Kesihatan, Raphael Parente berkata, cadangan itu bukan sahaja disebabkan oleh tekanan pada sistem kesihatan tetapi juga oleh varian Brazil yang lebih mudah disebarkan yang dikenali sebagai P.1.
"Pengalaman klinikal pakar menunjukkan bahawa varian baharu ini bertindak lebih agresif pada wanita hamil," kata Parente dipetik Reuters pada sidang media pada Jumaat.
Brazil melaporkan sebanyak 13,834,342 kes sehingga pagi Sabtu dengan 369,024 kematian.