PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer percaya The Red Devils sudah tidak terlalu jauh untuk kembali menjadi pencabar utama pasukan gergasi Eropah.
Menurutnya, United sudah menunjukkan banyak peningkatan dan sudah tidak terlalu jauh berbanding pasukan lain seperti Manchester City, Chelsea, Real Madrid dan Paris Saint Germain (PSG) beberapa musim sebelum ini.
"Realitinya ialah kami berada di LIga Europa dan mereka di Liga Juara-juara. Itu realitinya. Tetapi apabila anda melihat permainan kami dan anda dapat lihat sudah tidak terlalu jauh dengan pasukan besar lain.
"Segalanya berkaitan konsisten dalam perlawanan. Kadang-kadang kami gagal menyerlah dan kadang-kadang kami mampu membuat kejutan. Jadi, kami perlu kekalkan persembahan baik sekiranya mahu kembali berada di pentas tertinggi Eropah.
"Sekarang masanya untuk kami terus menambah baik permainan, mengambil inspirasi daripada permainan bagus dan belajar daripada persembahan buruk yang telah kami lalui," katanya.
United berpeluang untuk kembali mencabar Manchester City untuk perebutan trofi juara dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sekiranya menang ke atas Burnley pada Ahad sekali gus mengurangkan jarak kedudukan kepada lapan mata dengan enam baki perlawanan.
Bagaimanapun, Solskjaer mengakui bukan mudah untuk melihat City keciciran mata namun menegaskan dia gembira dengan prestasi yang telah dipamerkan para pemainnya.
"Tiga perlawanan terakhir menentang Burnley kami bolos dua gol dan tidak menang dalam tiga perlawanan di laman sendiri menentang pasukan itu. Ia perlawanan yang sukar untuk mengukur kemampuan mentaliti kami sejak tahun lalu.
"Kami perlu kembali mencatatkan kemenangan ke atas Burnley dan menunjukkan kualiti kami dalam saingan EPL sekali gus meneruskan momentum cemerlang kami pada musim ini," katanya