Video raya promosi judi: Pemuda Pas Kedah buat laporan polis

Iklan
Nurul Amin (dua dari kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kota Sarang Semut pada Jumaat.

ALOR SETAR - Dewan Pemuda Pas Kedah mahu siasatan dan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang terlibat dengan penerbitan iklan sebuah syarikat judi yang mempromosikan aktiviti perjudian terbuka secara dalam talian.

Ketuanya, Nurul Amin Hamid berkata, tindakan syarikat judi tersebut menggunakan tema hari raya menyentuh sensitiviti masyarakat Islam dan boleh menimbulkan suasana tidak harmoni selain membangkitkan kemarahan umat Islam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengolahan iklan terbabit yang mengajak orang ramai berjudi bagi mendapatkan duit untuk pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri adalah tidak sensitif terhadap bulan yang mulia ini.

"Iklan sebegitu boleh menjejaskan perpaduan dan mendatangkan kegusaran awam. Kami harap pihak terlibat dikenakan tindakan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau mana-mana peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Sehubungan itu, Dewan Pemuda Pas Kedah membuat satu laporan polis berkaitan klip video berkenaan yang dimuat naik di laman Facebook sejak Khamis di Balai Polis Kota Sarang Semut pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Nurul Amin berkata, isu judi bukan bersifat populis atau menunggu manfaat politik semata-mata kerana usaha menghalang umat Islam berjudi adalah tanggungjawab bersama.

Iklan

"Dalam isu berkaitan, kami menyokong ketegasan kerajaan negeri Kedah memelihara kesucian Ramadan daripada perbuatan maksiat yang merosakkan masyarakat melalui peruntukan undang-undang Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah DarulAman) 2014 termasuk aktiviti perjudian,” katanya.

Menurutnya, bawah Seksyen 16, kerajaan negeri boleh mengambil tindakan terhadap umat Islam yang berjudi atau berada di pusat perjudian.

"Exco Agama, Datuk Najmi Ahmad sebelum ini tegaskan, tindakan akan diambil terhadap premis judi tidak berlesen dan semua premis judi berlesen dipantau dan menghadkan operasi mereka agar tidak terus berleluasa,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Amin juga berharap ketegasan kerajaan negeri itu dapat mengekang penularan aktiviti perjudian di Kedah.