Sasar jualan meningkat 50 peratus sempena Ramadan Raya Jakel 2021

Iklan
Mohamed Faroz (kanan) dan duta produk Jakel, Awal Ashaari, Scha Al Yahya dan Lara Alana bergambar dengan warga kurang upaya cacat penglihatan serta keluarganya

KUALA LUMPUR - Syarikat tekstil terkenal, Jakel mensasarkan kenaikan jualan sebanyak 50 peratus sempena pelancaran Jualan Ramadan Raya Jakel 2021 bermula pada 14 April sehingga malam raya.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, syarikat Jakel terjejas pada tahun lalu apabila kadar jualan jatuh sebanyak 50 peratus akibat pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

"Kita menyasarkan kenaikan untuk Ramadan ini sebanyak 50 peratus berbanding pada tahun lalu kerana kita tutup operasi cawangan kedai.

"Jualan jatuh 50 peratus, jadi kita ingin tahun ini kembali seperti sebelum-sebelum ini dengan kenaikan sebanyak 50 peratus,” katanya dalam sidang akhbar Program Bantuan Jakel Bersama Duta Jakel dan Pelancaran Jualan Ramadan Raya Jakel 2021.

Iklan

Selain itu, Mohamed Faroz berkata, sempena kempen jualan berkenaan, Jakel turut melancarkan koleksi baju Melayu dari fabrik dengan teknologi ‘cepat kering dan berangin’ yang tidak panas, berangin serta selesa dipakai.

"Pelbagai produk raya seperti baju Melayu dan koleksi pakaian siap disediakan untuk semua para pelanggan Jakel tahun ini.

Iklan

"Set baju Melayu ini datang dengan rekaan kotak baharu yang lebih segar dan sesuai untuk dijadikan hadiah serta cenderamata kepada yang tersayang.

"Pelbagai rekaan dan warna koleksi sedondon ibu dan anak turut disediakan buat para pelanggan Jakel sempena kempen Jualan Ramadan Raya Jakel kali ini,” katanya.

Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel (kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak bersama barisan duta produk Jakel.

Dalam pada itu, Mohamed Faroz menjemput orang ramai untuk membeli belah di Jakel bagi membuat persiapan menyambut hari Raya yang bakal tiba.

"Jakel akan sentiasa mengambil serius perihal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pelanggan dan kakitangan yang berada di dalam premis Jakel.

"Jualan Ramadan Raya Jakel berlangsung di semua cawangan Jakel seluruh Malaysia dari 14 April sehingga malam raya. Pelitup muka eksklusif Jakel akan turut diberikan secara percuma kepada para pelanggan yang berbelanja RM100 dan ke atas,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Faroz berkata, seramai 100 anak-anak istimewa dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak telah menerima sumbangan baju Raya dan duit raya bagi program Bantuan Jakel Bersama Duta Jakel.

"Selain dari 100 pelajar dari sekolah berkenaan, turut menerima sumbangan ialah 50 warga kurang upaya cacat penglihatan dari sekitar Kuala Lumpur.

"Program bantuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini merupakan inisiatif tahunan kumpulan Jakel setiap kali tibanya bulan Ramadan.

"Usaha ini merupakan sebahagian dari usaha CSR kumpulan Jakel kepada masyarakat,” katanya.

Menurutnya, seramai 300 orang kelainan upaya kategori cacat penglihatan akan menerima sumbangan dari Jakel sepanjang bulan Ramadan ini.

"Aktiviti CSR kumpulan Jakel sebenarnya dijalankan hampir setiap hari dan tidak terhad bulan Ramadan, malah hampir setiap hari Jakel memberikan sumbangan berupa beras dan barang makanan kepada warga yang memerlukan di seluruh Malaysia.

"Cuma di bulan Ramadan ini, aktiviti pemberian bantuan dan sumbangan dipertingkatkan lebih dari kebiasaan,” katanya.

Barisan duta Jakel yang hadir dalam program tersebut antaranya Nabil Ahmad, Shuk Sahar, Awal Ashaari, Scha Al Yahya dan Lara Alana.