Pekerja pembersihan jumpa mayat terbakar dalam semak

Iklan
Mayat tanpa identiti ditemui terbakar di tepi jalan di Kampung Padang Air, hari ini.

KUALA NERUS - Mayat yang masih belum dikenal pasti identiti dan jantina ditemui dengan kesan terbakar di dalam cerun semak di tepi jalan utama Terengganu-Kelantan, Kampung Padang Air di sini pada Sabtu.

Mayat dalam keadaan meniarap itu ditemui di cerun kedalaman kira-kira tiga meter oleh seorang pekerja kontrak kebersihan pada jam 7.15 pagi sebelum memaklumkan kepada polis.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menerima maklumat menerusi panggilan kecemasan MERS daripada seorang lelaki memaklumkan penemuan mayat tersebut.

"Setibanya di lokasi, kita dapati satu mayat dalam keadaan tertiarap yang terbakar keseluruhan anggota badan kecuali bahagian betis kanan.

Iklan

"Menerusi siasatan awal, kita percaya berkemungkinan mangsa meninggal dunia di tempat lain dan dibakar di lokasi berkenaan. Bagaimanapun siasatan masih diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

"Polis bagaimanapun tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri di lokasi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian pada Sabtu.

Iklan
Abdul Rahim (dua dari kiri) menunjukkan lokasi mayat ditemui terbakar di tepi jalan utama Terengganu-Kelantan, Kampung Padang Air, Kuala Nerus pada Sabtu.

Abdul Rahim berkata, mayat berkenaan dibawa ke bilik forensik Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau sehubungan itu meminta kerjasama orang ramai untuk tampil memaklumkan kepada polis sekiranya terdapat ahli keluarga yang tidak pulang ke rumah dalam tempoh 24 jam.

Sementara itu, pekerja kontrak kebersihan, Mohd Hamdan Abd Manaf, 23, berkata, dia menjumpai mayat berkenaan pada jam 7.15 pagi ketika sedang membuat kerja pembersihan di lokasi sebelum ternampak asap tebal iaitu kira-kira 300 meter dari lokasinya.

"Saya nampak asap tebal dan takut ada orang membuat pembakaran secara terbuka. Saya terus ke lokasi untuk memeriksa.

"Setibanya di lokasi, saya nampak satu objek sedang terbakar. Pada mulanya saya ingatkan anak patung, lalu memanggil kawan yang kebetulan ada di lokasi untuk mendapat kesahihan.

"Masa itulah kawan saya kata objek itu adalah manusia, sebelum dia terus menghubungi polis," katanya.