Segera tetapkan harga siling barang kawalan

Iklan
Salahuddin semasa melakukan tinjauan di Pasar Awam Larkin Sental, Johor Bahru pada Sabtu.

JOHOR BAHRU - Kerajaan perlu segera menetapkan harga siling bagi mengelakkan harga barangan kawalan termasuk ayam dan daging lembu terus meningkat.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, langkah itu perlu dibuat memandangkan trend peningkatan harga ayam dan daging sejak dua minggu lalu nyata membebankan pengguna.

Iklan
Iklan

Malah katanya, harga ayam dijangka terus meningkat sehingga RM10 sekilogram menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri

"Tinjauan saya di Pasar Awam Larkin Sentral mendapati ia dijual pada harga RM9.20 sekilogram. Melihatkan pada trend sekarang, tidak mustahil ia akan terus meningkat sekiranya tidak ada kawalan harga dan penetapan harga siling dibuat.

Iklan

"Harga sedia ada sekarang pun sudah cukup tinggi dan membebankan rakyat. Tinjauan harga daging lembu tempatan dan daging import serta daging kambing juga melonjak naik.

"Jadi, saya harapkan pihak kementerian perlu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk berkongsi sumber dapatan bagi mengeluarkan cadangan harga barang kawalan supaya ia dapat dikawal,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan harga barang kawalan di Pasar Awam Larkin Sental, pada Sabtu yang turut disertai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, semasa di bawah kementeriannya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mampu mengawal harga ayam antara RM7 hingga RM7.50 manakala harga daging lembu tempatan antara RM30 hingga RM35 sekilogram.

Lebih membanggakan, harga itu dapat dikawal bagi tempoh sebulan iaitu dua minggu sebelum dan dua minggu selepas perayaan utama di negara ini pada 2019.

"Pelaksanaan dan penguatkuasaan harga barang kawalan dapat dijalankan secara efisien dengan kerjasama KPDNHEP. Jadi, jangan berikan saya alasan kenapa tak dapat dilaksanakan.

"Menteri yang bertanggungjawab kena ambil langkah proaktif dan memastikan pengguna tidak lagi terbeban. Sepatutnya mereka adakan pertemuan dengan pembekal ayam dan daging lembu tempatan dan mendengar pandangan mereka berhubung isu ini.

"Saya pasti pengguna menunggu pengumuman pihak kementerian yang boleh menguntungkan mereka dalam masa terdekat. Jika tidak, pengguna akan terus menjadi mangsa dalam hal ini,” katanya.