KUALA TERENGGANU - Polis menafikan satu rakaman suara menerusi WhatsApp yang tular di laman sosial berhubung tangkapan suspek berkait kes penemuan mayat terbakar di dalam cerun semak di Kampung Padang Air, Kuala Nerus pada pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan tiada sebarang tangkapan dibuat sehingga jam 5.30 petang Sabtu.
Iklan
Iklan
Terdahulu, tular satu rakaman suara lelaki menerusi aplikasi WhatsApp berdurasi 28 saat memberitahu tiga suspek yang membakar mayat berkenaan sudah ditangkap.
Rakaman suara itu turut memaklumkan bahawa mayat dijumpai itu adalah seorang perempuan cantik berasal dari Dungun tetapi menyewa di Kampung Tok Dir, Marang.
Pesanan suara tersebut juga turut memberitahu kononnya suspek bertindak membakar mangsa kerana marah apabila mangsa melarikan duitnya.
Pada pagi Sabtu, mayat yang masih belum dikenal pasti identiti dan jantina ditemui dalam keadaan meniarap di cerun kedalaman kira-kira tiga meter oleh seorang pekerja kontrak kebersihan pada jam 7.15 pagi sebelum memaklumkan kepada polis.
ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja pembersihan jumpa mayat terbakar dalam semak