LAZIMNYA pada bulan Ramadan, bazar Ramadan akan menjadi tarikan orang ramai. Ia tidak mengira latar belakang agama ataupun etnik. Masing-masing akan mencari juadah, sama ada sesuai untuk waktu berbuka atau sebahagian pula yang mahu mencuba.
Ketika bulan Ramadan, pelbagai juadah yang tidak dijumpai sepanjang tahun ada di sana. Makan sebulan, rindu setahun rasanya kerana ada penjual yang barangkali memiliki pekerjaan tetap lain tetapi menggunakan masa sebulan ini untuk berniaga dan membuat pendapatan sampingan.
Apakah bazar Ramadan boleh menjadi telapak perpaduan yang dicari walaupun bersifat bermusim? Mengapakah tarikan bazar itu menjadi perhatian? Adakah ia ‘luar biasa’?
Perpaduan melangkaui agama, etnik, kepercayaan, ritual, kelas dan wilayah. Perpaduan wujud apabila dengan sendirinya kita memapar sifat faham, hormat serta terima kepelbagaian sebagai satu keistimewaan. Walaupun berbeza amalan dan fizikal, ia tidak bermakna kita perlu membina sifat syak wasangka dan bermusuhan.
Dalam sebulan, kita melihat bagaimana setiap hari ziarah dan kunjung ke bazar menjadi satu kebiasaan. Ada juga menjadikannya sebagai kemestian. Ada juga berbagi untuk berbuka kepada yang memenuhi tuntutan bulan puasa. Luar biasa apabila yang bukan Islam turut melaksanakan tanggungjawab ini ke atas rakan Islam kerana beranggapan ia satu ‘perkongsian’.
Apakah ia satu ‘keenakan’ apabila beramai-ramai menikmati juadah atas nama ‘kemanusiaan’ sebagaimana amalan pertukaran kuih sesama jiran.
Suatu ketika dahulu, bertukar kuih adalah amalan yang kerap berlaku dalam kalangan jiran tetangga di kawasan perumahan. Masih adakah pertukaran juadah dalam kalangan jiran ini? Tanpa mengira perbezaan, kuih-muih dan makanan menjadi ‘penghubung interaksi sosial’ sesama mereka. Ia tidak hanya berlaku pada bulan Ramadan, malah ia menjadi perilaku berterusan tanpa ada sebarang sekatan ke atas apa yang dilakukan.
Ini kerana sering interaksi dan komunikasi berpanjangan sehingga kita boleh andaikan ‘awak dan saya satu keluarga’. Kuih bukan sekadar untuk dirasa tetapi kuih adalah lambang ‘harmoni’, kuih juga mengeratkan emosi dan peribadi.
Hari ini zaman sudah berubah. Bazar Ramadan masih ada, malah jualan makanan lebih banyak pilihan. Pertemuan sekejap di bazar membolehkan wujud ‘perpaduan yang dicipta’, sedangkan kita mahu perpaduan menjadi amalan dan bukan pilihan. Walau tembok dan dinding dibina antara kediaman hari ini, memberi dan menerima perlu menjadi satu yang tertanam dengan warna keikhlasan.
Ramadan juga melihat bagaimana ada yang mengambil tempahan kuih sama ada untuk beraya atau untuk diberikan kepada rakan-rakan dan sanak keluarga. Bolehkan amalan ini dipanjangkan kepada jiran andai kata tembok persahabatan terhad kerana sudah menjadi masyarakat yang individualistik dan materialistik.
Benarkah perwatakan kita berubah kerana tidak lagi mencari masa berkomunikasi dan berinteraksi dengan masyarakat sekeliling? Adakah ketidakselesaan hari ini disebabkan kurang bertemu dan berbual seperti dahulu? Siapakah bertanggungjawab dalam suasana seperti ini?
Pertukaran kuih berlaku dengan sendirinya sebelum ini. Tidak ada paksaan, tidak ada kewajipan. Yang ada hanyalah ‘keikhlasan’ demi menghormati kehidupan dalam satu keluarga besar, demi memahami dan menerima kepelbagaian adalah satu aset dan bukan liabiliti.
Andai kata kita boleh bersama dalam waktu pencapaian kecemerlangan yang membawa nama Malaysia, mengapa tidak ‘pertukaran kuih’ juga menjadi nilai dan norma kehidupan bersama yang boleh dijadikan satu sifat ‘faham, hormat dan menerima’ kerencaman yang terbina sekian lama.
Melentur buluh daripada rebungnya, melentur sifat diri daripada jiwa sendiri. Pertukaran kuih yang mengukuhkan persahabatan sebelum ini perlu dibawa semula agar kita peka tuntutan perpaduan yang bermula daripada rakyat sendiri.
Pertukaran kuih berlaku dengan sendirinya sebelum ini. Tidak ada paksaan, tidak ada kewajipan.
*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia