Pihak sekolah tidak wajar libatkan unsur bangsa, kaum

Iklan
Gambar hiasan. (Noor Azimah, Hasnah)

SHAH ALAM - Pihak sekolah tidak wajar melibatkan unsur-unsur bangsa dan kaum dalam pemilihan kategori kokurikulum untuk pelajar kerana ia menyentuh sensitiviti agama.

Pengerusi Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, pihak sekolah disaran menggunakan istilah umum dalam penetapan panduan aktiviti sukan sekolah.

Iklan
Iklan

"Sebenarnya perkara ini tidak perlu sebut bangsa kerana ia sangat keterlaluan apabila mereka memisahkan pelajar-pelajar ini.

"Tambah lagi dalam surat siaran itu sendiri mereka menulis Melayu, Cina dan India. Jadi saya rasa kenapa tidak tetapkan istilah umum sahaja,” katanya kepada Sinar Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut, Noor Azimah berkata, punca pihak sekolah mengumumkan ketetapan tersebut kerana tidak mendapat teguran daripada mana-mana pihak.

"Dalam penulisan, jangan sebut bangsa atau kaum. Kenapa mereka melakukannya, sebab tiada orang tegur.

Iklan

"Majoriti tidak akan tegur dan mereka membiarkan saja, tetapi minoriti menegur. Sebab itu perkara tersebut menjadi isu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Hasnah Toran menyifatkan tindakan sekolah yang cuba memisahkan pelajar-pelajar berdasarkan kaum dan bangsa itu sebagai satu tindakan rugi.

Menurutnya, nilai perpaduan adalah penting dan perlu dipupuk kepada pelajar di Malaysia sebagai satu kemahiran insaniah.

"Saya melihat orang Malaysia yang dilatih daripada dulu berkawan tidak mengira bangsa, dan kita pergi ke negara luar sebenarnya kita ada satu kelebihan. Kita ada kemahiran yang dipanggil sebagai perpaduan.

"Dan dari segi itu, bangsa Malaysia sudah berada di hadapan sebab kita telah biasa hidup dengan komuniti pelbagai kaum,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: KPM ambil tindakan sekolah tetapkan kokurikulum ikut kaum

Hasnah berkata, para guru di negara ini perlu berfikiran terbuka dan sedar kekurangan nilai perpaduan akan menyebabkan masa depan anak-anak muda hancur.

"Muhibah sesama kaum adalah sesuatu usaha yang dipupuk sejak dari merdeka lagi. Apabila terjalinnya muhibah, semangat bangsa Malaysia menjadi lebih kuat.

"Bayangkan nanti anak-anak tidak biasa bekerja dengan orang Cina atau India. Nanti apabila mereka masuk dalam bidang pekerjaan, ia akan menjadi kelemahan untuk mereka,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: KBS bidas tindakan sekolah tetapkan sukan mengikut kaum