Rumah musnah dijilat api sebelum Ramadan

Iklan
Rumah Shaelan yang hangus dijilat api sebelum seminggu sebelum Ramadan.

JENGKA - Ramadan kali ini disambut dalam suasana suram bagi seorang warga emas selepas rumahnya di Felda Jengka 1 di sini musnah dalam kejadian kebakaran seminggu sebelum umat Islam menjalani ibadah puasa.

Menurut Nora Abdul Rahim, 38, ibunya Shaelan Hamid, 72, yang kini tinggal bersamanya masih murung selepas kejadian tersebut.

Iklan
Iklan

"Siapa tak sedih kerana rumah ini banyak memiliki kenangan bersama arwah ayah selain kami 11 beradik membesar di rumah itu selama ini.

"Ibu juga sedih kerana memikirkan kami sekeluarga tidak dapat berbuka puasa bersama di rumah itu lagi.

Iklan

"Buat masa ini ibu tinggal bersama saya di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak,” katanya kepada Sinar Ahad di sini.

Dalam kejadian pada 7 April lalu, Shaelan tiada di rumah kerana melihat anaknya yang sedang berpantang di Lipis manakala anak yang tinggal bersamanya, Sabri Abdul Hamid, 48, berada di ladang.

Iklan

Menceritakan lebih lanjut, Nora yang merupakan anak ke sembilan daripada 11 adik-beradik itu berkata, ibu bapanya memasuki tanah rancangan tersebut pada 1971 bagaimanapun bapanya, Abdul Rahim Mohd Yunan meninggal dunia pada 2018.

"Setakat ini, kami memang ada terima bantuan daripada beberapa pihak selain individu yang prihatin dengan keadaan dan nasib ibu.

"Cuma buat masa ini, kami belum tahu lagi bila dapat bina semula rumah itu.

"Malah, sambutan Aidilfitri tahun ini juga mungkin sangat berbeza berbanding sebelum ini kerana tidak dapat berkumpul semua ahli keluarga di rumah yang banyak menyimpan kenangan buat kami,” jelasnya.