KUALA LUMPUR - Identiti tiga lelaki yang maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di Jalan Klang Lama di sini pada Ahad telah dikenal pasti.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, mereka yang maut dalam nahas itu dikenal pasti sebagai G Sharvinath, 21, J Jordan Jackson, 19, dan D Hervinraj, 16.
"Siasatan awal mendapati pada jam 6.49 pagi, tiga sahabat itu menaiki kereta Proton Wira dari arah Klang Lama menghala ke pusat bandar.
"Setibanya di lokasi kejadian, kereta itu telah hilang kawalan, kemudian melanggar batu penghadang jalan lalu berpusing sebelum merempuh sebatang pokok," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Zulkefly berkata, pihak ambulans dari Hospital Kuala Lumpur mengesahkan ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
"Kesemua mangsa dibawa ke Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) untuk bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan seramai 18 anggota dan pegawai bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh dan Pantai bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.
Komander Operasi Kanan, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nazri Hasim berkata, kemalangan tersebut mengakibatkan kenderaan terbabit remuk dan terputus dua bahagian.
"Kita mengeluarkan tiga lelaki warga tempatan yang tersepit, operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.55 pagi," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga lelaki maut kereta terbabas langgar pokok